DAMSYIK – Pelajar Syria, Nour, melihat jari manisnya dengan teliti, kemudian melihat rakan sekelas di sekelilingnya di Universiti Damsyik. Di tengah lautan wanita, tiada seorang lelaki pun yang kelihatan sesuai dengannya.
Pada usia 30 tahun, Nour berkata dia begitu teruja untuk berkahwin, namun konflik berpanjangan di Syria bermakna pasangan yang mungkin sesuai telah berhijrah, menyertai anggota tentera atau telah maut.
“Saya berharap cincin perkahwinan akan menghiasi jari saya ini suatu hari nanti,” kata Nour.
“Namun tiada lagi lelaki muda di sini. Mereka telah meninggalkan tempat ini lima tahun yang lalu. Saya menyedari penurunan drastik tahun demi tahun.”
Konflik Syria telah meletus pada tahun 2011 dengan protes besar-besaran, di mana Nour bersiap sedia untuk hari graduasinya dengan menerima ijazah pertama dalam bidang ekonomi.


“Pada masa ini lamaran-lamaran ini hampir terhenti sepenuhnya. Ianya sudah hampir terhad kepada yang dianggap tidak sesuai bagi perkahwinan normal – sama ada dari lelaki yang sudah berkahwin atau lanjut usia!”
Untuk mengisi masa yang ada, Nour memilih untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Damsyik dalam bidang kesusasteraan.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk mengisi masa saya. Tiada kawan, tiada kekasih, tiada suami,” katanya sambil mengeluh.
“Saya takut yang saya akan sudah tua sebelum berkahwin. Pada masa itu, saya pasti telah kehilangan semua harapan yang ada.”
Di kalangan masyarakat Syria yang begitu konservatif, kaum wanita pada umumnya akan berkahwin pada usia 20an, namun oleh kerana kekurangan kaum lelaki yang masih bujang, ini telah menimbulkan masalah buat kaum masyarakat di sana.
“Kini, oleh kerana dari krisis itu, seorang wanita boleh saja berkahwin pada usia 32 tahun tanpa memikirkan apa orang kata bahawa dia sudah terlewat untuk berkahwin,” kata Salam Qassem, seorang profesor psikologi di Damsyik.
Lebih 340,000 orang telah meninggal dunia dalam perang Syria dan beribu-ribu lelaki telah ditempatkan di barisan depan, jauh dari rumah mereka.
Daripada jumlah penduduk 23 juta orang semasa pra-peperangan, lebih daripada lima juta orang telah melarikan diri dari negara itu.
Ia telah memecah belahkan rangkaian sosial ibu bapa yang dahulunya mencari pasangan menantu yang berpotensi untuk anak lelaki dan perempuan mereka, kata Qassem.
“Pada masa lalu, jiran tetangga dahulunya sering mengenali antara satu sama lain, atau dapat mengenali antara satu sama lain dengan mudah. Namun kini, kaum keluarga berselerakan di merata tempat,” katanya.
Sesetengah penduduk Syria mempunyai idea kreatif dalam menentang halangan tersebut seperti menggunakan ‘perkahwinan Skype’, di mana pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang berada di wilayah berlainan, bahkan ada juga dari luar negara, mendatangani lesen perkahwinan dan sumpah taat setia mereka melalui dalam talian.


Yusra, 31, berkata bahawa ibu bapanya merasa bimbang kerana dia belum lagi berkahwin dan dia mungkin akan “terlepas dari kereta api perkahwinan itu”.
“Saya tidak mahu awak menjadi seorang perawan,” kata ibunya kepadanya secara berulang kali, menasihati beliau agar mencari pasangan yang sesuai. Tetapi seperti Nour dan Yusra, yang bekerja sebagai penterjemah kerajaan, mendapati dirinya dikelilingi oleh wanita atau rakan sekerja lelaki yang dia anggap terlalu tua untuk dijadikan pasangan.
“Semua orang tahu bahawa pemuda-pemuda di Syria telah menerima kesan yang sungguh besar terhadap apa yang berlaku ini,” katanya kepada AFP.
“Ada yang berhijrah. Ada yang berjuang. Pertimbangan kewangan telah menghalang seseorang itu untuk berkahwin. Bukan itu sahaja, mereka yang telah terkorban dalam peperangan sejak tujuh tahun yang lalu,” kata Yusra.
Peperangan juga telah membawa kepada peningkatan inflasi, pengangguran yang meluas dan kerugian ekonomi yang dianggarkan melebihi AS$225 bilion, membuatkan Firas berusia 37 tahun itu untuk berfikir dua kali sebelum membuat sebarang perancangan perkahwinan.
“Peningkatan kos sara hidup dan faktor-faktor kewangan lainnya membuat perkahwinan itu seperti ‘mission impossible’,”
kata Firas, yang bekerja di sebuah kedai pembaikan mesin cuci di kawasan kejiranan Damsyik di Bab Touma.
Serangan mortar yang dilancarkan oleh pemberontak di luar ibu negara itu telah mengenai kawasan kedainya, membahayakan nyawanya dan juga pelanggannya.
“Saya tidak dapat merancang atau menjangkakan masa depan saya. Saya hanya perlu hidup dari hari demi hari. Hanya Tuhan saja yang tahu tentang kehidupan saya ini,” kata Firas.
“Sesiapa yang berkahwin dalam keadaan ini dianggap gila. Saya tidak dapat menjaminkan tentang keselamatan saya dan juga maruah saya, jadi bagaimanakah pula saya akan dapat menjamin keselamatan isteri atau anak saya?” – AFP