Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesusasteraan mampu pengaruhi fikiran anak muda

    KUCHING, 13 JUN – Kesusasteraan mampu mempengaruhi fikiran anak muda dengan menerapkan norma dan penetapan minda yang diperlukan untuk menangani isu mengenai hak, kemampanan dan kesihatan pada masa akan datang, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata meskipun ia agak kompleks, kesusasteraan kanak-kanak mempunyai potensi yang besar untuk memupuk minda anak muda dengan memberikan pendedahan awal dan berterusan.

    “Dengan melibatkan diri mereka dalam naratif tentang keseimbangan alam semula jadi maka nilai tanggungjawab yang mendalam terhadap planet kita dapat dipupuk terhadap kanak-kanak.

    “Membaca kisah yang menampilkan pelbagai watak merangkumi budaya, latar belakang dan perspektif berbeza membolehkan kanak-kanak memupuk nilai empati, belas kasihan dan pemahaman yang menjadi sandaran demokrasi kita,” katanya dalam ucapan sempena program Jom Kita Bincang: Sustainability, Health, and Social Issues in Sarawak hari ini.

    Ucapan beliau pada program anjuran Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur itu disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

    Abang Johari turut menekankan mengenai keperluan mengukuhkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak memandangkan penguasaan membaca kian menurun dan situasi ini perlu ditangani.

    “Membaca adalah gerbang untuk ke dunia yang lebih luas yakni pendidikan, kemajuan dan penyertaan dalam usaha saintifik, politik dan budaya agar negara kita bergerak maju ke hadapan. Dengan kemahiran membaca akan menyuntik keupayaan untuk mengikuti dan menyertai perbahasan demokrasi,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda