Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketabahan pemandu tuk-tuk wanita Kemboja tangani stereotaip

    SIEM REAP – Setiap hari, Roeung Sorphy dengan mahirnya menyusuri jalan-jalan di Siem Reap, meliuk-liukkan dirinya melepasi kereta, motosikal dan kadang-kadang anjing liar sebagai pemandu tuk-tuk yang membawa pelancong ke kompleks kuil Angkor Wat yang terkenal.

    Tetapi, dalam usahanya untuk menjadi salah seorang daripada bilangan kecil pemandu tuk-tuk wanita di Kemboja, wanita berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Sopy itu terpaksa mengelak bukan sahaja pengguna jalan raya lain, tetapi juga bertubi-tubi ejekan, kebencian dan prasangka.

    Walaupun Kemboja telah mengambil langkah undang-undang dan praktikal ke arah mencapai kesaksamaan jantina, ia masih kekal sebagai masyarakat yang konservatif dan patriarki. Wanita diharapkan untuk menguruskan rumah dan keluarga berbanding mencari kerja bergaji.

    Ketika Sopy mula bekerja di jalan raya, cabaran yang dihadapinya sangat besar.

    “Pada mulanya, mereka (pemandu lelaki) memandang rendah saya. Mereka mengatakan bahawa wanita sepatutnya tinggal di rumah dan mencuci pinggan mangkuk,” katanya kepada AFP, menceritakan bagaimana dia dihina secara lisan dan diserang ketika bersaing untuk mendapatkan penumpang.

    Tuk-Tuk Lady mengangkut penumpangnya berhampiran kuil Bayon di kompleks Angkor di wilayah Siem Reap. – AFP
    Sopy melihat sambil menunggu penumpangnya berhampiran teres gajah di kompleks Angkor di wilayah Siem Reap. – AFP
    Foto bertarikh 17 November 2023 ini menunjukkan pemandu tuk-tuk wanita memandu berhampiran kuil Bayon di kompleks Angkor di wilayah Siem Reap. – AFP
    Gambar AFP

    “Tetapi kami tetap tabah,” katanya selepas dia selesai membersihkan tuk-tuknya, yang dihiasi dengan bunga-bunga teratai putih yang mekar.

    Dia memulakan kerjaya selepas meminjam AS$3,000 untuk membeli tuk-tuknya, dan kini telah memandu melalui jalan-jalan yang teduh di Angkor Park selama lebih tiga tahun.

    “Kita tidak boleh hanya bergantung kepada suami,” katanya sambil menggesa lebih ramai wanita menyertai profesion itu.

    “Kami akan kuatkan semangat seperti lelaki,” kata Sopy yang suaminya juga seorang pemandu tuk-tuk.

    Dia mengenakan bayaran kira-kira AS$15 bagi setiap penumpang untuk lawatan di sekitar Angkor, tapak Warisan Dunia UNESCO yang luas.

    Selepas bertahun-tahun, rakan sekerja lelakinya akhirnya menerima kehadirannya.

    “Kami telah memenangi hati mereka, mereka telah berhenti mendiskriminasi kami. Mereka fikir kita semua adalah sama.

    “Saya suka pekerjaan ini. Saya fikir semua wanita boleh melakukannya.”

    WUJUD DISKRIMINASI

    Laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat 2020 menyatakan bahawa wanita berdepan dengan gaji rendah, keadaan kerja yang lemah, kekurangan penjagaan kanak-kanak serta akses terhad kepada kewangan dan latihan.

    Bagi membantu wanita dalam bidang yang didominasi lelaki, pemandu terkenal Kim Sokleang, yang lebih dikenali sebagai Tuk-Tuk Lady, pada tahun lepas mengasaskan Persatuan Pemandu Siem Reap Remorque.

    Kumpulannya terdiri daripada 20 pemandu wanita, di mana enam daripadanya, seperti dia, adalah ibu tunggal.

    “Diskriminasi terhadap wanita Kemboja masih wujud,” kata Kim kepada AFP sambil menunggu penumpang di kuil Bayon.

    Selepas bercerai pada 2013, Kim mula memandu beca di ibu negara Phnom Penh untuk menyara hidup dua anak lelakinya.

    “Pada hari pertama, saya tidak mempunyai sebarang penumpang,” kata Kim sambil mengenang kembali bagaimana seorang wanita enggan menaiki tuk-tuknya.

    Memandangkan keadaan yang mencabar di Phnom Penh, wanita berusia 39 tahun itu berpindah ke Siem Reap pada 2015 untuk memandu pelancong.

    Pada mulanya ia adalah sukar, kata Kim, menggambarkan bagaimana dia menangis teresak-esak dalam tuk-tuknya apabila gagal mendapatkan penumpang.

    “Mereka fikir wanita terlalu lemah untuk memegang stereng, dan wanita tidak boleh bekerja seperti orang lain,” kata Kim.

    Tetapi ketabahannya membuahkan hasil: Tuk-Tuk Lady kini dipuji oleh pelancong tempatan dan asing yang melawat destinasi pelancongan utama Kemboja.

    Pelawat Norway, Stine Solheim dan seorang rakan berkata mereka berasa ‘selamat’ dengan Kim memandu mereka, dan kagum dengan usahanya untuk membela hak wanita.

    “Mereka benar-benar bersemangat dengan apa yang mereka lakukan dan mereka sangat menikmatinya serta berasa bangga,” katanya kepada AFP.

    MENANGANI STEREOTAIP

    Pengangkut dua roda yang ditarik oleh motosikal, tuk-tuk merupakan salah satu medium pengangkutan yang paling terkenal di Kemboja.

    Walaupun tiada statistik rasmi, pertubuhan bukan kerajaan, Independent Democracy of Informal Economy Association menganggarkan bahawa terdapat puluhan ribu pemandu tuk-tuk yang bekerja di seluruh Kemboja.

    “Pada mulanya, sebagai seorang wanita, adalah sukar untuk menerima diri saya sebagai pemandu tuk-tuk. Saya tidak pernah berfikir saya boleh melakukannya,” kata Sieng Meng, 36. Sebahagian daripada itu adalah disebabkan oleh kekurangan sokongan kerajaan, kata Kim.

    “Jika pemimpin Kemboja datang dan menaiki tuk-tuk, itu akan membantu menangani prasangka,” katanya.

    Kim ingin melihat lebih ramai wanita menceburi kerjaya ini, dan dia merancang untuk membuka restoran tuk-tuk apabila ahli pasukannya bersara.

    “Saya benar-benar berjaya menjadi pemandu tuk-tuk,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda