KUCING merupakan antara haiwan peliharaan paling popular di negara ini dan juga di seluruh dunia.
Di Amerika Syarikat sahaja, di mana penduduknya lebih suka memelihara anjing, 100 juta kucing disimpan sebagai haiwan peliharaan.
Bagi para pencinta kucing, anda pasti sudah biasa menyaksikan tingkah laku aneh haiwan comel itu. Bahkan kadangkala, pencinta kucing sendiri tidak memahami mengapa si kucing berkelakuan pelik sedemikian.
Berikut ini penjelasan bagi beberapa tingkah laku ganjil yang sering dilihat pada kucing.
1. Mengapa kucing seringkali tiba-tiba menggigit atau mencakar seseorang yang membelainya?
Menurut pakar kucing, Arden Moore, jika kucing tiba-tiba menggigit atau mencakar anda, itu adalah tanda ia mahu anda berhenti membelainya.


Seorang lagi pakar kucing, Dr John Bradshaw, berkata sebelum menggigit atau mencakar, sebenarnya kucing sudah menunjukkan tanda-tanda ia tidak mahu lagi dibelai. Ini seperti dengan mengibaskan ekornya, menaikkan telinganya, membesarkan anak matanya dan menegangkan ototnya.
Kucing juga akan menggigit jika ia dibelai di kawasan yang tidak disukainya. Kebanyakan kucing suka diusap di kepala, namun benci dibelai di perut atau di bahagian dekat ekornya.
2. Mengapa kucing suka menjatuhkan barang dari atas meja?
Meskipun dalam beberapa kes, kucing memang secara lumrahnya suka berkelakuan nakal, namun seringkali kucing sebenarnya mahu perhatian si pemilik dengan menjatuhkan barang.
Bahkan, kadangkala kelakuan sedemikian dilihat sebagai semacam hiburan bagi si kucing dan satu cara ia bermain dengan pemiliknya.
3. Mengapa kucing merenung anda dengan tajam lalu mengerdipkan matanya dengan perlahan?
Meskipun kucing adalah binatang yang seringkali penuh misteri, namun ia menunjukkan kasih sayangnya dengan cara mengerdipkan mata dengan perlahan. Para pemerhati menyifatkan hal ini sebagai ‘kitty kisses.’
4. Mengapa kucing suka dengan komputer atau komputer riba?
Seringkali ketika anda sedang menyiapkan kerja di komputer atau komputer riba, si kucing akan tiba-tiba datang menganggu anda. Namun jangan salah faham, ia sebenarnya bukan sedang mencari perhatian.
Ada dua perkara yang membuat kucing tertarik kepada komputer atau laptop, iaitu kehangatan yang dipancarkan komputer, serta tekstur papan kekunci yang menarik bagi si kucing.
5. Mengapa kucing seringkali panik dan ketakutan sendiri?
Hal ini terjadi apabila kucing berasa bosan kerana tidak ada apa-apa kegiatan yang menarik baginya. Ia melepaskan geramnya itu dengan berlari-lari tanpa arah, seakan-akan ia ketakutan.
Namun ini tidak bermakna ia tidak benar-benar ketakutan. Sedikit pergerakan sahaja boleh menganggunya, bahkan jika ia hanya debu sekalipun, ini akan membuat kucing panik hingga lari bertempiaran.
6. Mengapa kucing suka menjilat benda bukan makanan, seperti beg plastik?
Kucing menjilat beg plastik atas alasan yang sama iaitu ia merasa bosan. Hal ini dilakukannya untuk mengurangkan rasa stres yang dialaminya. Menurut pakar kucing, beberapa kucing pula memang tidak cukup mendapat susu daripada ibunya. Oleh itu, ia selalu mencari tempat-tempat untuk berlindung seperti kantung plastik atau di bawah selimut dan jaket.
7. Mengapa kucing sangat suka dengan kotak?
Kucing sangat menyukai kotak kerana ia adalah tempat sesuai bagi kucing menghilangkan stres yang dialaminya.
Kotak juga adalah tempat sesuai untuk ia berlindung dan memerhatikan keadaan sekitarnya. – Agensi