Oleh Nurdiyanah R. –
Kanser kolorektal ialah kanser yang berlaku di usus besar (kolon) atau rektum. Ia bermula apabila sel-sel di bahagian itu tumbuh secara tidak terkawal yang membawa kepada ketumbuhan. Ketumbuhan itu boleh menjadi kanser jika tidak dirawat dan apabila menjadi kanser ianya boleh merebak ke bahagian yang lain di tubuh badan.
Kolon atau usus besar ialah organ yang menyerap air dan nutrien daripada makanan yang telah dicerna sebelum sisa makanan dihantar ke rektum iaitu bahagian akhir usus besar yang menyimpan najis sebelum dibuang dari badan melalui dubur.
Mengikut data yang diperoleh daripada Daftar Kanser Brunei Darussalam, pada tahun 2023, kanser kolorektal merupakan kanser paling lazim didiagnosis di kalangan lelaki dan kedua tertinggi di kalangan wanita.
Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Dr Siti Zuhrini binti Haji Kahan semasa berkesempatan ditemui pengamal media pada sekitar pertengahan bulan Mac lalu.
TANDA-TANDA AWAL KANSER KOLOREKTAL
Menyentuh mengenai tanda-tanda kanser kolorektal yang sering dilaporkan, Dr Siti Zuhrini berkata antaranya seperti rasa tidak selesa di kawasan perut seperti kembung, kejang atau terasa tajam; benjolan atau bengkak di kawasan perut; dan perubahan pada warna najis seperti najis boleh menjadi hitam ataupun berdarah.
Beliau turut menyatakan tanda-tanda lain termasuklah lelehan atau lendir yang luar biasa dari dubur; perubahan tabiat membuang air besar dengan ada yang mengalami sembelit atau cirit-birit berpanjangan atau ada yang berasa seperti najis tidak habis dikeluarkan, walaupun sudah ke tandas.
Selain itu, jelasnya lagi, tanda-tanda kanser kolorektal juga termasuk susut berat badan tanpa sebab, bukan kerana perubahan diet atau bersenam; berasa letih atau lesu tanpa sebab, itu kerana kanser boleh menyebabkan tubuh kehilangan tenaga dengan cepat; hilang selera makan tanpa sebab; kurang darah merah (anaemia) dan jika awda selalu berasa pening atau lemah, ini boleh berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan darah merah melalui usus tanpa awda sedari dan sakit punggung, yang mana pada peringkat lanjut. Ada juga sesetengah pesakit mengalami kesakitan di bahagian punggung atau belakang.
Oleh itu, tegas Dr Siti Zuhrini, bagi sesiapa yang mengalami tanda-tanda berkenaan adalah dinasihatkan berjumpa dengan doktor di pusat kesihatan yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.
FAKTOR-FAKTOR RISIKO KANSER KOLOREKTAL
Dr Siti Zuhrini turut menerangkan beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit itu termasuk peningkatan umur yang mana risiko lebih tinggi bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas; jantina lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita; berat badan berlebihan atau obesiti yang mana individu yang mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko kerana pengumpulan lemak boleh menyebabkan perubahan dalam sel usus besar.
Tambahnya lagi, mempunyai sejarah keluarga yang mana terdapat ahli keluarga terdekat pernah menghidap kanser kolorektal juga merupakan antara faktor yang boleh meningkatkan risiko selain menghidap penyakit radang usus atau Inflammatory Bowel Disease (IBD) iaitu penyakit seperti Ulcerative Colitis atau Crohn’s Disease boleh menyebabkan keradangan berterusan pada usus di mana dinding usus mengalami iritasi dan bengkak.
Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser kolorektal juga termasuk mereka yang pernah menghidap polip atau kanser kolorektal iaitu jika seseorang pernah mempunyai polip di usus besar. Polip ialah ketumbuhan kecil yang tumbuh di dinding usus. Sebilangan besar polip adalah tidak berbahaya dan tidak menyebabkan sebarang gejala tetapi polip boleh berkembang menjadi kanser jika tidak dikesan dan dirawat awal.
Dr Siti Zuhrini turut mengongsikan tabiat merokok juga boleh meningkatkan risiko menghidap kanser kolorektal di samping ia bukan sahaja dikaitkan dengan kanser paru-paru; dan begitu juga pengambilan alkohol secara berlebihan yang boleh menyebabkan perubahan dalam sel usus yang meningkatkan risiko kanser.
“Diet rendah serat dan tinggi lemak iaitu memakan terlalu banyak daging merah, makanan diproses dan makanan berlemak, tetapi kurang buah-buahan, sayur-sayuran dan serat, boleh menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi.
“Faktor-faktor risiko ini hanya meningkatkan risiko tetapi ia tidak bermaksud seseorang akan mendapat kanser. Apa yang kami ingin sarankan ialah jika awda mempunyai tanda-tanda atau risiko kanser dan berasa risau tentang kesihatan awda, dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut dengan segera,” tegas Dr Siti Zuhrini.
MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MERAWAT
Dalam membantu mencegah dan mengurangkan risiko kanser kolorektal, Dr Siti Zuhrini seterusnya menyarankan seseorang individu hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan tidak merokok, di samping memperbanyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berserat tinggi.
Beliau turut menambah seseorang individu perlu mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak, makanan yang diproses dan juga daging merah; meningkatkan aktiviti fizikal untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan mengelakkan minuman beralkohol serta menjalankan ujian saringan untuk mengesan awal kanser kolorektal juga sebagai antara usaha untuk membantu mencegah dan mengurangkan risiko penyakit tersebut.
“Ingat, kanser kolorektal bolehlah dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang baik, gaya hidup sihat dan menjalankan saringan kesihatan secara berkala,” ujarnya.
BERSAMA SERTAI PEMERIKSAAN KESIHATAN KEBANGSAAN
Sehubungan itu, Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal yang lazimnya disambut setiap bulan Mac di seluruh dunia, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser kolorektal termasuk faktor risikonya serta kepentingan menjalani ujian saringan. Kanser kolorektal merupakan salah satu kanser yang paling kerap didiagnosis di peringkat global termasuk di Negara Brunei Darussalam.
Oleh itu, kesedaran mengenai kanser kolorektal adalah penting kerana kanser itu boleh dicegah melalui gaya cara hidup yang sihat dan pengesanan awal melalui saringan. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dengan tujuan untuk mencegah serta mengesan awal kanser sebelum individu berkenaan menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit.
Untuk mendapatkan maklumat terkini, awda boleh mengikuti akaun Instagram @mohbrunei atau @bruhealth.app. Awda juga boleh mengunjungi laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn dan mengakses Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan untuk maklumat lanjut mengenai saringan.
Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghantar e-mel di health.screening@moh.gov.bn.