Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketahui bila sayur-sayuran sesuai dituai

    Sudah tiba masanya atau semakin hampir masanya bagi kita yang menanam sayur untuk menuai hasil tanaman sendiri.

    Walaupun mudah untuk mengetahui bila sesetengah sayur, seperti tomato, sudah masak (warnanya merah, kuning atau oren seragam), perkara ini tidak sama bagi setiap jenis tanaman.

    PETANDA LAZAT BAGI TANAMAN POPULAR

    Zucchini, contohnya, tidak berubah warna apabila masak. Walaupun menggoda untuk membiarkan labu mencapai panjang 15 inci, ia cenderung menjadi liat. Untuk kelembutan optimum, pilih buah apabila panjangnya antara 6-8 inci (15-20 sentimeter).

    Semua varieti kacang hijau harus dituai apabila ketebalannya kira-kira sama dengan pensel. Setelah pokok mula berbuah, periksa setiap hari atau dua hari sekali dan ambil kacang yang sudah sedia; semakin banyak dituai, semakin banyak pokok akan hasilkan.

    Lada hijau boleh dituai pada saiz mana-mana, tetapi dianggap matang sepenuhnya apabila bertukar merah. Sebagai bonus, lada merah lebih manis dan mengandungi lebih banyak nutrien.

    Tomato yang sudah ranum di pokok di Long Island, New York. Tomato dianggap masak apabila warnanya seragam. – AP
    Zucchini yang sudah sedia untuk dituai akan memiliki tekstur lembut dan panjangnya berukuran 6–8 inci. – AP
    Kacang hijau yang sedia dituai di Long Island, New York. Kacang seharusnya dituai apabila ketebalannya lebih kurang sama dengan pensel. – AP
    Sekumpulan pokok bawang putih matang di Long Island, New York. Bawang putih sedia dituai apabila semua daun kecuali lima di bahagian atas telah bertukar kuning atau coklat. – AP

    Tiada istilah timun belum masak – walaupun kecil, ia rangup dan berjus. Risiko di sini ialah membiarkannya terlalu lama pada pokok, yang boleh menjejaskan rasa dan tekstur. Timun dianggap matang apabila kulitnya yang berbintik mula menjadi licin.

    Jagung manis sedia dituai apabila benang di hujung tongkol bertukar perang. Jika masih ragu-ragu, buka sedikit kulit tongkol dan tekan satu biji jagung dengan kuku; jika keluar cecair berwarna susu, ia sudah masak.

    Tembikai cantaloupe hampir ‘menuai sendiri’ apabila masanya tiba: Tarikan ringan akan melepaskan tembikai dari tangkainya. Jika perlu menggunakan daya lebih, ertinya ia belum sedia untuk dituai.

    Tembikai honeydew masak apabila bahagian bawahnya mula lembut, manakala tembikai biasa masak apabila bahagian bawah bertukar ke warna putih krim.

    BILA UNTUK MENGGALI TANAMAN AKAR

    Menentukan bila untuk menggali tanaman akar lebih mencabar kerana sukar dinilai secara visual tanpa mengganggu tanaman. Namun, terdapat beberapa petanda yang boleh diperhatikan.

    Bawang putih matang apabila semua daun kecuali lima di bahagian atas telah bertukar kuning atau coklat sepenuhnya.

    Bawang sedia dituai apabila daun atasnya mula rebah dan bertukar coklat.

    Untuk bit, pilih satu pokok dan alihkan tanah di pangkalnya untuk mendedahkan bahagian atas akar sepenuhnya. Tuai apabila lebarnya antara 1½ inci hingga 3 inci (3.8–5 sentimeter), bergantung pada varieti. Jika terlalu kecil, tutup semula tanah, siram dan cuba seminggu kemudian. Elakkan membiarkan bit terlalu besar kerana ia akan hilang manis dan menjadi liat.

    Kentang biasa matang sepenuhnya apabila daunnya layu. Tetapi jika yang dimahukan ialah ‘kentang baru’, gali anak kentang berkulit nipis 2-3 minggu selepas pokok berbunga. Jenis kentang matang awal akan sedia dituai lebih cepat daripada jenis biasa, jadi periksa label untuk maklumat varieti. (Nota: Disebabkan kulitnya yang halus, kentang baru harus dimakan segera kerana ia tidak tahan disimpan lama.)

    Lobak merah sedia dituai apabila menonjol dari tanah, tetapi boleh dibiarkan dalam tanah, walaupun hingga musim sejuk, sehingga diperlukan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda