Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ketahui ciri-ciri buli siber

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ketika masyarakat terdedah kepada arus perkembangan rangkaian media sosial yang menyediakan pelbagai maklumat seperti aplikasi TikTok (gambar), kita sebagai pengguna juga tidak terlepas daripada implikasi positif dan negatifnya. Hakikatnya, penggunaan TikTok sering berakhir dengan implikasi negatif jika ia tidak dikawal sebaiknya sehingga membawa kepada isu jenayah siber.

    “Aplikasi TikTok sudah menjadi trend terkini termasuklah dalam kalangan masyarakat di negara kita tanpa mengira usia. Apa yang perlu ditekankan adalah sejauh mana aplikasi ini selamat untuk golongan kanak-kanak memandangkan ia tidak mempunyai batas sempadan dan sesiapa sahaja bebas untuk melihat apa yang dimuatkan dalam aplikasi tersebut.

    “Oleh itu, bagi memastikan penggunaan tidak disalah guna atau terbabit dalam isu-isu jenayah siber, maka para ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau segala gerak-geri anak-anak mereka,” tekan Pegawai Pemasaran dan Kesedaran Keselamatan Siber (CSB), Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Menyentuh mengenai langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam usaha memastikan aplikasi berkenaan selamat digunakan untuk seisi keluarga adalah dengan sentiasa menukar akaun kepada private iaitu dengan menekan profil dan simbol tiga baris di bahagian atas kemudian tekan privacy. Selain itu, para pengguna juga mestilah memiliki kata laluan yang kukuh dan kuat.

    “Begitu penting untuk menjadikan akaun awda private kerana ia mampu mengawal segala kandungan peribadi, salah satu contoh adalah tidak disiar semula (repost) oleh orang-orang yang tidak dikenali. Begitu juga, para pengguna perlu menetapkan penapisan komen-komen yang tidak bersesuaian untuk lebih memanfaatkan penggunaannya ke arah nilai-nilai positif.

    “Dalam pada itu, para ibu bapa atau penjaga juga dapat memantau kegiatan anak-anak mereka ketika menggunakan aplikasi berkenaan menerusi penetapan kepada kaedah family pairing yang tersedia dalam bahagian privacy,” tekannya lagi.

    Apabila ditanya mengenai ciri-ciri buli siber dalam penggunaan rangkaian media sosial termasuklah aplikasi tersebut, Dayang Siti Nor Izuana menyatakan bahawa beberapa jenis buli siber dapat dikategorikan kepada aspek gangguan, denigrasi, cari gaduh, penyamaran, khabar angin dan tipu serta mengintai.

    Jelasnya lagi, gangguan itu merujuk kepada perbuatan seseorang yang berulang kali menghantar mesej yang menyinggung perasaan, biadab dan menghina pengguna yang disasarkan.

    Manakala denigrasi ialah seseorang yang mengedarkan maklumat tentang orang lain dengan adanya perbuatan menghina dan tidak benar melalui menyiarkannya pada halaman web, atau menghantarnya kepada orang lain melalui e-mel atau mesej segera, mahu pun dari segi menyiarkan atau menghantar foto seseorang yang diubah suai secara digital.

    Cari gaduh pula merujuk kepada bergaduh dalam talian menggunakan mesej elektronik dengan bahasa kesat.

    Begitu juga penyamaran berlaku apabila seseorang yang memecah masuk e-mel atau akaun rangkaian media sosial dengan menggunakan identiti seseorang dalam talian yang disasarkan bagi tujuan menghantar atau menyiarkan bahan kejam atau memalukan orang berkenaan.

    Manakala khabar angin dan tipu bermaksud seseorang telah berkongsi rahsia atau maklumat yang memalukan seseorang, atau menipu seseorang untuk mendedahkan rahsia atau maklumat yang memalukan dengan menghantarkan kepada orang lain.

    Perbuatan menghantar mesej berulang kali yang termasuk ancaman bahaya, menakutkan, atau terlibat dalam aktiviti dalam talian lain yang membuat seseorang berasa takut untuk keselamatannya itu dikategorikan sebagai mengintai dalam siber.

    Ujarnya, jika isu jenayah siber seperti buli siber itu terjadi, maka antara langkah yang perlu kita lakukan sebagai pengguna adalah dengan tidak membalas si pembuli tersebut dan simpan tangkapan layar sebagai bahan bukti.

    Kemudian laporkan profil si pembuli ke bahagian media sosial yang digunakan dan sekat akuan tersebut. Diikuti dengan melaporkan isu berkenaan kepada pihak polis.

    “Berbicara mengenai impak penggunaan TikTok ini, ia tertakluk kepada setiap individu. Jika seseorang menggunakannya dengan berhemat dan selamat, maka ia akan memberikan impak dan kesan yang positif seperti menjadikannya platform sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan sesuatu maklumat, antaranya berkongsi resipi makanan ataupun menggunakannya sebagai platform untuk pembelajaran,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...