Ketahui keadaan cuaca sebelum hiking

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai khususnya penggemar kegiatan hiking untuk memastikan mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mula gelap.

Saranan itu dibuat berikutan kejadian orang sesat yang dilaporkan baru-baru ini iaitu di Taman Rekreasi Tasek Lama, Bandar Seri Begawan pada 23 Julai lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa seramai 10 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pmk ASO Mohd Noorerawan dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan Cawangan Operasi A dan DSO Firdaus dari Skuad Khas Cawangan Operasi C dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 7:01 malam.

Dua orang mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai sesat di hutan berkenaan dan anggota bomba dan penyelamat bertindak masuk ke dalam hutan bagi memulakan pencarian.

Kenyataan menyatakan bahawa pada pukul 8:07 malam, kedua-dua mangsa telah dijumpai di kawasan Bukit Sarang Helang kira-kira 6 kilometer dari tempat keluar. Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mendapat sebarang kecederaan.

JBP menyarankan orang ramai khususnya penggemar aktiviti hiking supaya tidak mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini berlaku dan untuk memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat mereka hendak tuju, memastikan bahawa mereka tahu akan keupayaan diri sendiri dan jangan meneruskan mana-mana aktiviti sekiranya tidak merasa sihat.

Untuk keselamatan mereka semasa melakukan aktiviti hiking, disarankan supaya mereka membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

Orang ramai juga diseru jika berlaku sebarang insiden untuk meng-hubung talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

JBP menerima satu laporan kejadian orang sesat semasa melakukan aktiviti hiking di Taman Rekreasi Tasek Lama, pada 23 Julai lalu. – Gambar serahan JBP