Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketahui perkembangan pembelajaran

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 27 JUN – Sebagai inisiatif untuk menggalakkan ibu bapa serta penjaga mengambil tahu mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka, Sekolah Panaga, Kampus Melilas telah mengadakan Festival of Learning di kampus berkenaan hari ini.

    Festival tersebut mempamerkan beberapa buah petak pameran yang disediakan oleh para pelajar dengan memperlihatkan sejumlah subjek yang dipelajari di sekolah tersebut, termasuk seni dan reka, matematik, sains, kemanusiaan, Bahasa Inggeris, pendidikan digital, bahasa asing moden, muzik dan drama.

    Para ibu bapa berpeluang melihat sendiri perkembangan anak-anak mereka pada acara tahunan tahun penutup akademik itu menerusi beberapa aktiviti dan ujian praktikal.

    Pengetua Sekolah Panaga, Cindy Tahal, menjelaskan bahawa pelbagai subjek yang diajar di sekolah itu menonjol semasa festival itu apabila para pelajar teruja untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan mereka dengan pelbagai cara.

    “Sebahagian aktiviti boleh disertai oleh para ibu bapa dan penjaga,” tambahnya.

    Beliau juga menjelaskan acara tersebut merupakan ‘jendela’ untuk melihat kurikulum para pelajar, serta memberikan kefahaman kepada para ibu bapa dan penjaga bagaimana anak-anak mereka berkembang di sekolah.

    “Kami mahu para pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dengan mengongsikannya bersama ibu bapa mengenai apa yang mereka peroleh di sekolah, tempat di mana mereka mendapat ilmu dan dapat mengongsikannya bersama yang lain dalam pelbagai cara,” jelasnya.

    Di akhir temu bual, beliau berkata festival itu mempunyai nilai yang signifikan kepada sekolah dan para pelajar, kerana pada usia remaja mereka mampu menerima banyak pengalaman pembelajaran yang dapat membantu mengembangkan lagi kemahiran serta watak mereka semasa meningkat dewasa.

    Para pelajar mengikuti aktiviti yang diadakan semasa festival tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda