Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Burung kakak tua atau disebut sebagai ‘parrot’ dalam Bahasa Inggeris, dikenali sebagai burung paruh bengkok dalam kalangan sebahagian masyarakat Asia, merupakan haiwan yang mudah ditemui di kebanyakan kawasan beriklim panas dan tropika serta bernilai tinggi di pasaran.
Ia memiliki kecantikan yang pasti menarik hati setiap yang memandangnya. Warna terang yang menghiasi bulu pelepah pada tubuhnya menjadikannya sangat istimewa di mata para penggemarnya.
“Makan kuat-kuat Wang Macho, capat tah kau basar,” begitulah antara kata-kata bualan seorang insan yang ingin dikenali dengan nama Awang Samat kepada burung kakak tua peliharaannya yang saat itu berada di hadapan halaman kediaman beliau berdekatan dengan salah sebuah gerai kampung sekitar kawasan Kampung Jerudong, baru-baru ini.
Berkongsi santai mengenai pandangan peribadi haiwan peliharaannya, Awang Samat menyatakan sememangnya beliau menggemari pelbagai burung eksotik yang lain, namun burung kakak tua tetap menjadi pilihannya.
Ini kerana kecantikan dan kebijakan meniru suara manusia yang dimilikinya serta teknik penjagaan hariannya sangat mudah yang menjadikannya sangat istimewa daripada haiwan peliharaan yang lain.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P15-4_08022023.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P15-5_08022023.jpg)
“Penjagaan yang baik itu merupakan perkara yang penting untuk diamalkan bagi setiap pemelihara haiwan. Oleh itu sebagai seorang pemelihara burung kakak tua, teknik atau ilmu penjagaannya perlu dipelajari dengan sebaik-baiknya sama ada daripada segi makanan dan minuman, memberi perhatian, sehingga kepada aspek kesihatan haiwan berkenaan,” ujarnya.
Menurut Awang Samat, penjagaan burung kakak tua ini sangat mudah. Namun satu perkara yang perlu ditekankan ialah perhatian mestilah sentiasa diberikan kepada burung peliharaan sebanyak dua atau tiga kali sehari melalui kaedah dipegang dengan sentuhan lembut agar ia mudah untuk dijinakkan.
“Menjinakkan burung itu tergantung kepada diri kita sendiri kerana ia memerlukan komitmen serta masa dan situasi yang sesuai iaitu sebaik-baiknya bukan di hadapan orang ramai. Di samping itu, ia juga tergantung kepada keberanian individu terhadap burung berkenaan.
“Pemantauan kesihatan burung juga mestilah dititikberatkan misalnya melalui pemberian makanan yang sesuai dan segar seperti biji-bijian dan sayur-sayuranan serta minuman air putih dan bersih.
Jika makanan dan minuman tidak dijaga dengan baik, maka hal ini boleh memudaratkan kesihatan haiwan peliharaan tersebut.
Selain itu, burung juga mesti dimandikan pada waktu pagi secara semburan mengikut keadaan kekotorannya kemudian dijemur di bawah cahaya matahari agar dapat membantu menjaga kelembapan kulit dan menyegarkan tubuhnya, tambahnya.
Jelas Awang Samat lagi, tahap kesihatan burung juga dapat dinilai dari segi fizikalnya seperti mata kuyu atau sayu, bulu tidak berseri dan tidak bermaya berkemungkinan besar menandakan burung itu sakit.
“Selain itu, melalui najis juga dapat menilai tahap kesihatan burung, antaranya jika najis burung berwarna putih menandakan burung itu kurang makan. Manakala jika najis berubah menjadi cair berkemungkinan ia sakit atau pun lebih minum air,” katanya.