Ketam biru rampas periuk nasi nelayan

DIVJAKE, ALBANIA – Ketam biru mungkin nampak cantik akan tetapi ia menimbulkan ancaman di sepanjang pantai Albania.

Satu sumber gangguan harian untuk nelayan Balkan yang bergelut untuk mencari nafkah demi mencukupkan belanja harian, spesies ketam tersebut sedang menjejas ekosistem di rantau berkenaan.

Hidup di kawasan Atlantik, haiwan krustasia itu mulai muncul di perairan Adriatik di Albania sejak satu dekad lalu, dirangsang oleh suhu laut yang panas.

Di kawasan pantai yang berpaya berhampiran Lagun Karavasta, ketam menyesak jaringan pukat dan tebat, menimbulkan rasa panik di kalangan nelayan yang berkata haiwan laut asli yang menjadi sumber pendapatan mereka semakin sukar dicari sekarang.

Ketam ‘merampas periuk nasi malah ikan dalam pukat kami…tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dijual,” kata Besmir Hoxha, 44, mencabut salah satu sepit biru ketam daripada seekor ikan kecil dalam pukatnya.

Nelayan Stilian Kishta (kanan) memegang perangkap ikan di muara Sungai Mati berhampiran Lagun Divjaka. – AFP
Stilian Kishta mengeluarkan ketam biru daripada pukatnya di Sungai Mati berhampiran Lagun Divjaka. – AFP

Rakan sekerjanya yang berusia 40 tahun, Stilian Kisha mengangkat tangan yang dipenuhi dengan luka akibat disepit oleh ketam apabila cuba menyelamatkan ikan daripada serangan ketam.

“Mereka adalah amat agresif dan pintar, betul-betul satu musibah,” kata beliau.

“Tahun ini kami melihat ketam di merata tempat, di pantai, luar pesisir dan juga di perairan pedalaman, sungai dan lagun. Kerosakan yang dicetuskan adalah amat besar.”

Ada kalanya nelayan mengumpul sehingga 300 kilogram ketam biru – berbanding dengan hanya lima hingga enam kilo ikan yang dijual oleh mereka di pasar.

Stok ikan siakap tempatan, ikan belanak dan belut semakin lenyap, kata mereka, apabila penyerang asing mengganggu keseimbangan hidupan dalam air.

“Ia merupakan cabaran harian dengan ketam, yang akan menjadi haiwan pertama yang menangkap ikan – pada pagi ini ketam menang sekali lagi,” kata Stilian.

Nelayan memang patut berasa bimbang dengan spesies di mana setiap ketam betina bertelur sehingga berjuta-juta biji, beritahu Sajmir Beqiraj, seorang profesor hidrobiologi di Universiti Tirana, kepada AFP.

Spesies callinectes sapidus, asli di kawasan Teluk Mexico di mana ia hidup dengan baik, telah merebak ke seluruh dunia menerusi air balast dan kini tergolong di kalangan 100 spesies invasif teratas di Mediterranean.

“Pemanasan global sedang mewujudkan keadaan yang baik untuk keha-diran spesies eksotif di tempat-tempat di mana keadaan berkenaan, terutamanya suhu, tidak sesuai beberapa tahun lalu,” menurut Beqiraj.

Ketam biru ‘telah pun mengganggu keseimbangan semula jadi penghuni fauna asli, justeru membawa kepada kemerosotan malah kepupusan sesetengah spesies, terutamanya ketam tempatan.

Haiwan krustasia itu juga merosakkan dasar rumpai laut bawah air yang berfungsi sebagai tapak semaian untuk ikan tempatan, memakan kupang dan siput yang merupakan makanan kepada ikan tersebut.

“Kerosakan kepada jumlah ikan adalah amat besar,” kata Beqiraj.

Walaupun isi ketam dianggap makanan istimewa untuk sesetengah orang, ia jarang dimakan di Albania.

Ia meninggalkan nelayan tempatan dengan bot yang dipenuhi makanan laut yang tidak dapat dijual oleh mereka. Satu kilogram ketam hanya dijual dengan 40 sen euro berbanding dengan 14 euro untuk ikan belanak.

“Tidak adanya pasaran untuk ketam,” kata Hoxha, yang mempunyai lima orang ahli keluarga untuk disara.

Satu pengharaman eksport makanan tidak beku ke Kesatuan Eropah juga mengehadkan kemungkinan untuk memperoleh keuntungan di tempat lain.

Nelayan tidak mempunyai pilihan melainkan meninggalkan ketam mati di bawah cahaya matahari yang terik.

“Sekarang adalah masa ketam membiak dan untuk menghalang mereka daripada keluar ke laut untuk bertelur, kami membuangnya,” kata Adrian Kola, nelayan berusia 27 tahun, sambil mengosongkan satu baldi besar yang mengandungi ketam ke darat.

“Kami mesti bertindak segera untuk mencari jalan penyelesaian, jika tidak esok ia akan menjadi amat sukar untuk mengawal serangan ini sama seperti kami mengawal koronavirus.” – AFP