Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketandusan pakar antropologi forensik

    KUALA LUMPUR – Tidak seperti kebiasaan, permintaan seorang pegawai polis agar beliau turut terlibat dalam siasatan kes kematian seorang wanita bersama-sama pasukan forensik Belanda, membuatkan Prof Dr Faridah Mohd Nor berasa serba salah.

    Manakan tidak, naratif kematian mangsa yang disampaikan menerusi telefon oleh pegawai polis yang juga kenalannya itu, menyentap perasaan pakar antropologi forensik tersebut, membuatkan beliau terdiam.

    “Bolehkah saya serahkan kes ini kepada Prof? Ini melibatkan tulang-temulang dan Prof patut ambil kes ini.

    “Kes ini juga sangat penting sebab mangsanya adalah rakyat Malaysia,” kata Dr Faridah, memetik kata-kata kenalannya, ketika mengimbas satu kes yang diterimanya pada 2016 kepada Bernama.

    Kes A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu pernah menggemparkan negara pada 2008.

    Prof Dr Faridah Mohd Nor ketika ditemu ramah Bernama menyatakan pemeriksaan rangka tulang manusia boleh merungkai pelbagai kes jenayah. – Bernama
    Prof Dr Faridah Mohd Nor melakukan pemeriksaan ke atas rangka manusia bagi tujuan siasatan. – Bernama

    Mayat wanita itu yang dipercayai dibunuh oleh suaminya seorang warga Belanda, disembunyikan di dalam tangki najis yang kemudian disimen di rumah sewa mereka di Ranong, Phuket, Thailand.

    Rangkanya ditemukan pada penghujung 2008, iaitu setahun selepas mangsa dilaporkan hilang.

    Kes tersebut antara yang paling mencabar dan menarik bagi Dr Faridah sepanjang 24 tahun pembabitannya dalam dunia forensik. Hingga kini beliau telah mengendalikan lebih 5,000 mayat kes jenayah termasuk yang berprofil tinggi.

    “Kes (A Fairos) ini mencabar kerana kami tidak jumpa punca kematian walaupun sudah melakukan yang terbaik bagi mensabitkan suspek.

    Kes ini masih lagi berjalan di mahkamah Belanda,” kata Dr Faridah, yang juga Pakar Runding Patologi Forensik dan Antropologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

    Penglibatan beliau dan pasukannya dalam kes itu mendapat pengiktirafan kerajaan Belanda.

    Akan tetapi, selepas lebih dua dekad bergelumang dengan mayat dan tulang-temulang manusia, Dr Faridah mula berasa bimbang selepas melihat ketandusan pelapis dalam bidang itu.

    Malah, kata beliau, ketika ini negara hanya mempunyai kira-kira 10 orang pakar antropologi forensik.

    MENGAPA PENTING?

    Kekurangan pakar antropologi forensik ini menuntut perhatian wajar pihak berwajib kerana berisiko menjejaskan siasatan kes yang melibatkan tinggalan rangka.

    Kepakaran antropologi forensik juga dituntut bagi mengenal pasti punca dan jangka masa kematian.

    Jantina misalnya, dapat disahkan melalui pemeriksaan tulang tengkorak yang memberikan ketepatan 92 peratus dan tulang pinggul dengan ketepatan 95 peratus, tambah beliau.

    “Bidang forensik ini boleh terbahagi kepada pelbagai cabang, misalnya entomologi forensik yang dapat terungkai waktu kematian melalui pemeriksaan ulat mayat pada mayat berkenaan. Ini selalunya pada mayat yang masih utuh.

    “Bagi tinggalan rangka, hanya kepakaran antropologi forensik sahaja yang boleh mengenal pasti identiti si mati, sama ada lelaki atau wanita, untuk disepadankan dengan siasatan polis. Ada kaedah lain seperti pengambilan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) dan X-ray, namun keputusannya tidak begitu tepat,” jelas beliau.

    Lantaran itu jugalah khidmat pasukan antropologi forensik, Dr Faridah sentiasa ditagih oleh pasukan polis bagi membantu siasatan melibatkan rangka dan tulang manusia, seperti kes A Fairos, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

    Bercerita lanjut, Dr Faridah yang sudah dua tahun bersara berkata beliau kini berkhidmat secara kontrak di UKM disebabkan oleh masalah kekurangan pakar sedangkan kes jenayah membabitkan pembunuhan meningkat.

    “Kita memang perlukan lebih ramai pakar antropologi forensik. Kami yang sudah bersara masih perlu berkhidmat kerana tidak ada pelapis.

    “Kes sekarang semakin banyak dan jenayah dilakukan dalam pelbagai bentuk dengan ada yang dibuang dalam selimut tebal toto ke dalam gaung.

    Di negara tropika seperti Malaysia ini, adakala mayat boleh mereput dan tinggal rangka hanya dalam tempoh sebulan dan itulah sebabnya amat penting kita ada pelapis,” katanya.

    TIDAK HANYA MALAYSIA

    Isu kekurangan pakar antropologi forensik ini hakikatnya tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di serata dunia memandangkan tidak banyak institusi pendidikan antarabangsa yang menawarkan kursus itu dan Malaysia juga tidak terkecuali.

    Menurut Dr Faridah, program fellowship yang diikutinya di University Oregon, Amerika Syarikat, selepas menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Bradford, United Kingdom, ditamatkan sebaik sahaja beliau selesai mengikuti pengajian pada 2010, disebabkan oleh ketiadaan tenaga pengajar.

    “Saya jadi macam bidan terjun kerana bukan sahaja mengajar pelajar sarjana tetapi juga menjadi pemeriksa mereka dalam penyelidikan.

    Sebenarnya, isu kekurangan pakar antropologi forensik ini tidak hanya berlaku di negara kita tetapi di serata dunia, sehingga kami turut menerima pelajar postdoctoral dari Jordan untuk belajar di UKM.

    Kepakaran wanita ini dalam merungkai misteri identiti dan kematian kes jenayah serta bukan jenayah seperti kemalangan, kebakaran, sakit biasa dan lain-lain, tidak hanya didamba oleh pihak berkuasa negara ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

    Justeru tidak menghairankan beliau sentiasa dijemput menjadi penceramah untuk pelajar perubatan, pakar forensik dan polis di Sir John Walsh Research Institute dan Australian and New Zealand Forensic Science Society (ANZFSS), University of Otago di Dunedin dan Institute of Environmental Science and Research (ESR) di Auckland, Wellington dan Christchurch.

    Selain itu, beliau turut aktif membimbing pegawai polis di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras dan pegawai undang-undang di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) serta pelajar Fakulti Undang-Undang, UKM.

    “Sebenarnya, pelbagai rahsia kematian dapat dirungkai melalui tulang kerana setiap tulang, contohnya tulang belikat, tulang pinggul boleh membuka pintu kepada penyelesaian sesuatu kes jenayah.

    Menariknya, serpihan tulang yang berusia ribuan tahun juga boleh dilakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti identiti mayat.

    TARIKAN PELAJAR ANTARABANGSA

    Sehubungan itu, Dr Faridah yang juga Ahli Jawatankuasa National Specialist Register (NSR) melihat ada keperluan untuk negara mewujudkan pusat antropologi forensik bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang berkenaan.

    Katanya, langkah itu juga adalah pendekatan terbaik bagi mendedahkan pelajar perubatan kepada cabang antropologi forensik yang tidak begitu dikenali berbanding kepakaran forensik lain, walhal keperluannya amat kritikal dalam siasatan berkaitan dengan tinggalan kerangka.

    “Memandangkan kita berdepan kekurangan pakar untuk mengajar, pusat ini boleh mengikuti konsep program yang dilakukan oleh University Bradford dengan mengambil tenaga pengajar bukan sahaja tempatan tetapi juga dari luar universiti,” katanya yang yakin pusat itu mampu memenuhi keperluan negara.

    Beliau juga berkata sudah tiba masanya negara turut memberi tumpuan kepada ‘pelancongan pembelajaran perubatan’ sepertimana pelancongan kesihatan, memandangkan kepakaran tempatan turut diburu oleh pelajar perubatan luar negara.

    “Malah, University of Otago, New Zealand juga berminat untuk menghantar pelajar biologi mereka bagi mendapat latihan dan pendedahan tentang bidang tersebut dengan kita di sini. Kerana itu saya berasakan ada keperluan bagi pusat antropologi forensik tersebut diwujudkan,” katanya.

    Bagi menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang itu, beliau kini menumpukan perhatian dalam penghasilan buku siasatan antropologi berdasarkan kes tempatan memandangkan bahan rujukan sedia ada lebih mengetengahkan kes di luar negara.

    Hingga kini, Dr Faridah telah menghasilkan lebih 15 buah buku, sama ada penulisan sendiri atau bekerjasama dengan rakan penulis lain, termasuk dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang bertajuk ‘Fikh Forensik’ pada 2017. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda