SEORANG wanita muda telah diberikan anugerah di atas keberaniannya menyelamatkan seorang ibu dan anak-anak wanita itu daripada perompak dengan menumbangkan penjenayah terbabit.
Jordyn Mavromatis, 22, berada di rumah seorang rakannya apabila dia melihat seorang penjenayah cuba merampas beg tangan dari seorang wanita di jalan.
Tidak berasa gentar, Mavromatis dari Wellingborough, Northamptonshire, England yang merupakan pemain sayap untuk pasukan ragbi tempatannya, melompat dan berpaut pada kaki perompak itu menyebabkan dia terjatuh.
Perompak berkenaan, Daniel O’Boyle bagaimanapun berjaya melepaskan kakinya dan melarikan diri ke sebuah kereta yang dipandu rakan subahatnya, Elaine Garcia, namun mereka berjaya ditangkap tidak jauh dari situ.
Pada Februari lalu, O’Boyle, 41, telah dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun atas beberapa kesalahan rompakan dan mendatangkan kecederaan sementara Garcia di penjara selama 22 bulan.


Awal bulan ini, Jordyn, telah dianugerahkan dengan High Sheriff Award dan £750 untuk tindakannya itu.
Terdengar jeritan
Hakim Michael Fowler yang menjatuhkan hukuman penjara kepada O’Boyle berkata, pada majlis penyampaian, “Tindakan Mavromatis adalah sangat berani.
“Malangnya, pesalah itu berjaya melepaskan diri walaupun Mavromatis berusaha untuk menahannya.
Namun, tindakannya dapat menamatkan pengalaman ngeri yang dialami mangsa dan anaknya. Mavromatis patut berbangga dengan tindakannya itu,” katanya.
Mavromatis berkata, dia bertindak sedemikian selepas melihat O’Boyle bergelut dengan wanita itu di Wellingborough pada 17 Ogos tahun lalu.
“Saya baru memasuki rumah kawan saya apabila terdengar jeritan dari luar.
“Saya memandang ke luar melalui tingkap dan melihat seorang lelaki dan wanita sedang bergelut, manakala dua anak kecil berada di tepi mereka.
“Saya berlari keluar untuk cuba meleraikan mereka, namun saya melihat darah pada wajah wanita berkenaan,” katanya.
Ceritanya lagi, kanak-kanak itu kemudian menjerit memberitahu lelaki berkenaan seorang perompak.
“Saya bertanya kepada wanita itu sama ada dia mengenali lelaki terbabit. Dia berkata, tidak.
“Saya tahu saya terpaksa menghentikannya tetapi satu-satunya cara yang saya tahu untuk menghentikan seseorang yang berbadan besar sepertinya adalah dengan menjatuhkannya dengan cara ragbi,” katanya.


Tambah Mavromatis, dia kemudian membongkokkan badan lalu menuju ke arah lelaki itu dan menolaknya jatuh sehingga ke seberang jalan.
“Badannya amat besar dan saya hanya terfikir untuk merendahkan badan, letak tangan ke sisi, genggam tangan dan berlari ke arahnya.
“Ia sama seperti ketika bermain ragbi, anda banyak cedera, namun tidak merasainya kerana hanya fokus menjatuhkan orang itu atau mendapatkan bola,” katanya.
Melarikan diri
Menurutnya, jiran-jiran di situ kemudian keluar untuk melihat kekecohan itu.
“Bagaimanapun, tiada siapa yang menelefon polis, jadi saya mengetuk pintu sebuah rumah dan meminta mereka menelefon polis.
“Saya lihat penjenayah itu berusaha untuk berdiri semula lalu saya berlari ke arah kereta untuk mengambil kuncinya, namun dia berjaya mengejar dan cuba untuk masuk ke dalam kereta.
“Satu kaki saya sudah masuk di dalam kereta, namun penjenayah itu menarik saya keluar dan berjaya melarikan diri. Semuanya berlaku dengan cepat,” katanya.
Jelasnya lagi, setelah semuanya selesai, dia menghabiskan 10 hingga 20 minit untuk melihat keadaan wanita dan anak-anaknya itu.
Mavromatis yang berasal dari Zimbabwe dan berpindah ke England sejak lima tahun lalu kini bekerja sebagai penjual insurans.
“Saya tidak menganggap diri saya seorang wira. Saya tahu ia adalah keadaan yang berbahaya kerana siapa tahu dia mempunyai pisau.
“Saya gembira kerana latihan ragbi saya berguna. Saya hanya melihatnya sebagai sasaran yang perlu dijatuhkan dan melakukan apa yang perlu dilakukan,” tambahnya. – Agensi