Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketangkasan seni silat, cerminkan nilai warisan budaya

    Oleh Lenna N.B.

    SENI silat indah dengan kelembutan bunganya dan kesopanan gerakannya, namun di sebalik kelembutan dan kesopanan itu, ia juga mempunyai ketangkasan dan keunggulan. Sebuah warisan bangsa yang sudah diturunkan sejak berkurun lamanya oleh nenek moyang kita.

    Justeru itu, di dalamnya mempunyai kehalusan yang melambangkan nilai-nilai keMelayuan yang melahirkan wira-wira Melayu yang dahulunya menjadi kemahiran untuk melindungi diri sendiri dan keluarga, menjaga negara dan keamanan, serta melindungi Raja dan Keluarga Diraja.

    “Dulunya, latihan seni silat ini dilakukan dalam hutan, gelanggang tanah dan sebagainya, hanya diketahui oleh perguruan dan penuntut-penuntut yang tertentu. Namun, sekian lama, seni silat ini seakan-akan ketinggalan berbanding dengan seni-seni pertahanan diri yang lainnya, diajarkan di dalam ruang gim atau studio, mempunyai pengikut dan peminat yang ramai. Selaku, penggiat dan pencinta seni silat Melayu ini, setentunya timbul kerisauan dalam diri kami sekiranya seni silat ini hilangnya seni silat dari generasi kita puluhan akan datang dan lebih menyedihkan lagi apabila ia mungkin hanya akan menjadi sekadar ristaan. Atas sebab itu, kami membangunkan sebuah akademi kecil ini, di mana kami dapat memberigakan seni silat Brunei secara terbuka, keluar dari tradisi demi mempertahankan warisan bangsa,” ujar Mejar (B) Rusli Bujang, Pengasas dan Pemilik Akademi Silat Empowerior (Empowerior Silat Academy).

    Bersama murid-murid yang menyertai program Brain Warrior iaitu dari serendah usia empat tahun hingga remaja yang berusia 14 tahun.
    Antara wajah bersemangat kanak-kanak yang mengikuti program seni silat di Akademi Silat Empowerior.
    Murid-murid tekun mendengar penjelasan dari salah seorang jurulatih.
    Laila Sembah, salah satu tertib kesopanan yang ditampilkan dalam seni silat Melayu.
    Salah satu gerakan dalam Senaman Panglima.
    Arat-arat melambangkan peringkat seni silat yang dikuasai, merangkumi 23 arat secara keseluruhannya dari Prawira 1 hingga peringkat Pendeta.
    Mejar (B) Rusli Bujang, Pengasas dan Pemilik Akademi Silat Empowerior (Empowerior Silat Academy).

    Penubuhan Akademi Silat

    Akademi Silat Empowerior telah ditubuhkan setahun lalu, sekitar November 2016 yang pada mulanya dibukakan khusus untuk kanak-kanak dari usia empat tahun hinggalah remaja seawal usia 14 tahun, yang di mana programnya dinamakan sebagai ‘BrainWarrior’.

    Menurut Mejar Rusli, penubuhan akademi itu adalah sebagai pemerian imej baru terhadap seni silat yang kian dianggap ketinggalan zaman.

    “Tujuan kami menumpukan kelas kepada kanak-kanak, kerana mereka adalah generasi muda yang terawal kami ingin tanamkan semangat mencintai seni silat warisan kita ini. Beberapa bulan kemudian, barulah kami membuka kelas untuk orang dewasa yang dinamakan sebagai program ‘HeadStrong’, diikuti dengan kelas silat untuk wanita, program ‘EmpoWomen’. Alhamdulillah sambutan setiap program ini adalah cukup menggalakkan sekaligus menunjukkan sebenarnya ramai individu yang ingin mempelajari ilmu silat Brunei ini, yang sebelumnya tidak ada akademi atau kelas terbuka seperti ini,” tambah Mejar Rusli.

    Haji Ramli bertindak selaku Pengasas Bersama akademi.

    Akademi seni silat ini diasaskan oleh Mejar Rusli, yang juga berperanan sebagai Ketua Jurulatih atau Instruktor di dalam akademi. Sementara itu, Awang Mohd. Azmi bin Haji Mohd Yakup dan Haji Ramli bin Haji Tamin pula bertindak selaku pengasas bersama akademi.

    Masing-masing mempunyai pengalaman kira-kira lebih dari 30 tahun berkecimpung dalam seni silat, dengan memperkenalkan program pembelajaran silat yang lebih teratur, mengikut peringkat modul yang diperkenalkan sebagai Prawira, Ekawira, Dwiwira, Triwira dan Adiwira, iaitu dari asas bela diri, ke penggunaan dan pengawalan senjata tumpul, penggunaan dan pengawalan senjata tajam, aplikasi pelbagai bentuk pukulan dan kuncian, serta pertahanan senjata, kuncian lanjutan dan penguasaan silat tradisi.

    “Setiap modul anggaran mengambil masa selama tiga bulan penguasaan, mungkin lebih dari itu, dan untuk menguasai sepenuhnya boleh memakan tempoh minimum selama tujuh tahun. Ada di antaranya, belajar seni pertahanan diri ini, sebagai aktiviti di waktu lapang, atau untuk tujuan olahraga dan kesihatan tubuh badan, tetapi ada juga benar-benar serius ingin menguasai sepenuhnya. Ia terbuka mengikut kehendak pelajar-pelajar itu sendiri. Sama ada sekadar suka-suka, sebagai sukan untuk dipertandingkan atau sebagainya.”

    Pembelajaran lebih teratur dan mudah diterima

    Menurut Awang Mohd. Azmi yang juga berperanan selaku Jurulatih Kanan menjelaskan bahawa suatu ketika dahulu untuk mempelajari seni silat itu adalah sangat sukar, namun atas dasar minat, mereka tetap terus bersemangat untuk belajar yang mengambil masa selama berjam-jam hingga adakalanya menjengah sehingga ke waktu malam.

    Awang Mohd. Azmi, pengasas bersama akademi yang juga berperanan sebagai Jurulatih Kanan.

    Namun di era ini, zaman tidak lagi seperti dahulu disebabkan generasi kita kini ramai yang berkarier, mempunyai komitmen masing-masing dan sebagainya, mereka memperkenalkan pembelajaran silat dengan pendekatan berbeza iaitu di dalam gim yang berstruktur, dan hanya dalam tempoh pembelajaran selama dua jam bagi setiap sesi.

    “Melalui cara ini, keberkesanan kelas lebih mudah mendekati khalayaknya sesuai dengan masa senggang mereka melalui latihan yang bersistematik. Tambahan pula, kami berusaha untuk memperkembangkan seni silat ini daripada sukan pertandingan iaitu bukan sekadar untuk dipertandingkan di peringkat serantau, antarabangsa atau dunia, tetapi turut mengetengahkan aspek-aspek yang lainnya, mungkin dianggap kurang penting.”

    Menurut Mejar Rusli, ada empat aspek kepentingan utama seni silat itu dipelajari, (1) kerana nilai keseniannya, (2) demi bela diri, (3) sebagai sukan olah raga untuk dipertandingkan dan (4) pembinaan dalaman, iaitu untuk kesihatan tubuh badan. Keempat-empat aspek ini yang diketengahkan dalam akademi, dengan ditumpukan kepada seni silat Brunei.

    Senaman Panglima

    “Setiap sesi kelas, dimulakan dengan senaman Panglima, iaitu senaman yang telah kami warisi semasa menuntut ilmu silat ini. Senaman Panglima ini sudah lama diamalkan di kalangan pesilat dan ia juga mempunyai nilai kesihatan yang tinggi. Senaman ini dilakukan lebih kurang 15 minit sebelum kelas bermula.”

    Senaman Panglima adalah bentuk senaman untuk melancarkan pernafasan, merenggangkan sendi otot, dan sebagainya, yang setiap gerakannya mempunyai nama-nama tertentu, antara yang menarik adalah nama gerakan ‘naga berlabuh’. Sebuah bentuk senaman yang unik di sebalik seni silat Brunei.

    Menariknya, seni silat ini mengandungi nilai budi Melayu, menjadikan kita lebih memahami budaya tempatan kerana di dalamnya mengandungi cara kita tunduk hormat, duduk bersila dan sebagainya. Malah, doa-doa yang menjadi pelindung kepada diri kita sendiri. Secara ringkasnya, nilai-nilai MIB (Melayu Islam Beraja) menjadi falsafah yang dipegang kuat dalam persilatan.

    Latihan mencabar dan menarik dengan menggunakan senjata.
    Seni silat mempunyai ketangkasan di sebalik kelembutan bunganya.
    Mejar Rusli menunjukkan demonstrasi seni silat yang menggunakan teknik serangan dan belaan senjata.

    Memartabatkan warisan bangsa

    Kini, akademi silat ini mempunyai kira-kira 70 penuntut dari kanak-kanak hingga yang dewasa. Jurulatih-jurulatih sebalik akademi ini sendiri menyimpan wawasan agar silat kembali menjadi seni bela diri terunggul di Brunei, iaitu bukan sekadar sebuah persembahan di atas pentas tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan.

    “Justeru itu, melalui akademi ini, kami menggabungkan seni silat cakak asli, kuntau, betawi dan sebagainya, dijadikan sebagai satu sistem yang dikenali sebagai seni bela sangga. Oleh itu, seni silat Brunei ini terus diwarisi dan tidak hilang ditelan zaman.”

    Menurut Mejar Rusli, mereka juga berharap akademi tersebut menjadi pusat perkembangan silat tanahair, sentiasa membuka ruang untuk guru-guru silat datang dan berkongsi ilmu yang mereka simpan selama ini kerana ada seni silat Brunei yang kini sudah tidak diketahui dan menghilang. Contohnya, seni silat cakak yang mempunyai aliran paling besar antaranya adalah cakak asli, cakak pohon dan sebagainya tetapi antaranya hanya menjadi ristaan sahaja.

    “Kami, sebagai pencinta seni silat Melayu setentunya amat terasa kehilangannya jika ia tidak dihebahkan atau tidak diperkongsikan. Justeru itu, dengan penubuhan akademi ini adalah diharapkan agar seni silat yang menghilang dapat dihidupkan semula dan kami sentiasa terbuka untuk menerima guru-guru yang ingin bekerjasama ke arah wawasan itu, demi khazanah bangsa yang dicintai,” ucap Mejar Rusli yang turut bertindak selaku Ketua Jurulatih Kanan dan Pemilik Akademi Silat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda