Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketegangan sempadan Thailand-Kemboja meningkat, kawalan diperketat

    BANGKOK, 8 JUN – Thailand menutup sementara pos kawalan sempadan terbesarnya dengan Kemboja kepada pelancong tempatan kelmarin, susulan kematian seorang askar Kemboja dalam pertempuran tentera yang tercetus baru-baru ini antara dua negara jiran yang tegang itu.

    Tentera Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk meredakan ketegangan, namun Kemboja kemudian menyatakan akan mengekalkan tenteranya di kawasan itu walaupun Thailand telah menggesa agar pasukan tersebut berundur.

    Tentera Diraja Thailand mengambil alih kawalan ke atas ‘pembukaan dan penutupan’ semua pintu sempadan yang dikongsi bersama Kemboja kelmarin, atas alasan ‘ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan Thailand’.

    Dalam satu kenyataan kelmarin, pihak berkuasa menyatakan hanya rakyat Thailand dan Kemboja yang mempunyai urusan kerja serta perdagangan sahaja dibenarkan untuk melintasi sempadan tersebut.

    Pintu sempadan Aranyaprathet-Poipet mencatatkan jumlah trafik darat tertinggi antara kedua-dua negara, dengan ribuan orang menggunakannya setiap hari.

    Tentera Diraja Thailand memaklumkan kepada AFP, sekatan itu hanya dilaksanakan kepada warga kedua-dua negara tersebut, namun pelaksanaannya ‘mungkin berbeza mengikut lokasi’.

    Enam lagi pusat pemeriksaan sempadan turut mengetatkan waktu operasi dan menguatkuasakan larangan terhadap kenderaan enam tayar.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai, dalam satu kenyataan kelmarin, menyifatkan tindakan Kemboja yang ‘menolak’ cadangan pengunduran pasukan tenteranya selepas insiden 28 Mei sebagai sesuatu yang ‘amat dikesali’. – AFP

    Phumtham Wechayachai semasa ditemu bual media, di Bangkok, Thailand pada 7 Jun. – ANN/ The Phnom Penh Post
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda