Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – “Dalam dunia moden yang serba pantas dan penuh tekanan, ramai yang kelihatan bahagia di luar namun hatinya gundah di dalam”
“Ketenangan jiwa merupakan asas kepada kesihatan mental dan spiritual, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 28 yang bermaksud:(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenang”.
Ini antara yang dijelaskan oleh Research Visiting Fellow, Japan Institute of International Affairs, Tokyo, Japan, Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof dalam tazkirah bertajuk, “Ketenangan Jiwa, Kunci Kesihatan Mental” pada Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-202 sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025, kelmarin.
Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Program Malam Munajat turut disemarakkan oleh para pegawai Jabatan Pengajian Islam, KHEU yang bersiaran secara maya dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Turut serta ialah para jemaah dari beberapa buah masjid, warga kerja KHEU serta individu dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Muhammad Hady bin Bukhari dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Ia diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Haji Mohd Suffri Sofian bin Haji Mohammad Umar.
Doa munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Awang Haji Sufri bin Amit @ Othman.
Malam Munajat turut diserikan dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Sekolah Umum (Pendidikan Islam), Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Awang Haji Mohd Amrizam bin Haji Mat Umar.
Acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang.
Program Malam Munajat berkenaan antara lain bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran, serta merafakkan doa dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam serta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai turut dialu-alukan untuk menyertai acara Malam Munajat secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.

