Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Julai – Pementasan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji telah diteruskan lagi malam tadi dengan Persembahan Malam Karnival Seni Budaya.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi berserta isteri yang telah dialu-alukan oleh Pengerusi Majlis, Haji Maseri bin Haji Jambu.
Persembahan anjuran Majlis Belia Daerah Belait dan Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) Brunei Darussalam itu antara lain bertujuan untuk mengetengahkan kebudayaan tradisi Kedayan kepada kalangan generasi muda.
Karnival tersebut turut mengetengahkan persembahan beberapa kemahiran hidup bekarih masyarakat Kedayan seperti berburu, memancing, mengumpul barangan dan juga penggunaan peralatan memasak secara tradisi masyarakat tersebut.
Haji Maseri memberitahu, PEMEDAYAN pada masa ini mempunyai lebih 100 orang ahli yang datang dari beberapa buah kampung di seluruh negara.


Beliau berharap dengan adanya persembahan seperti itu bukan saja akan dapat membantu memberikan pengetahuan tentang cara hidup tradisi masyarakat Kedayan di negara ini, tetapi juga dapat menggalakkan penglibatan masyarakat Kedayan menjadi ahli persatuan di seluruh negara.
Menurutnya, persatuan mereka telah banyak membuat aktiviti seperti lawatan ke kampung-kampung bagi mengetengahkan persatuan mereka dan untuk meneruskan seni budaya dan tradisi Kedayan serta menjadikan pelantar untuk menyebarluaskan pengetahuan kepada orang ramai.
Acara telah diserikan dengan pertunjukan teknik memburu oleh kalangan masyarakat Kedayan zaman dulu seperti memerangkap burung, menangkap ikan dan sebagainya selain pertandingan nyanyian kalangan ahli-ahli persatuan.
Di samping itu, para penonton turut dihiburkan dalam kuiz bagi menambahkan lagi pengetahuan mereka.