Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Dengan hasrat untuk mengetengahkan produk-produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang berdaftar di Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) serta produk-produk rakan seliaan dari Jabatan Penjara, Ekspo Jualan 1K1P dan Rakan Seliaan 2019 dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula hari ini hingga 29 Ogos di Dewan Muhibah, JDBM.
Perasmian ekspo itu telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.
Majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan bantuan untuk rakan seliaan daripada Syarikat Hajam yang diserahkan oleh Pengurus Syarikat Hajam, Haji Wan Yali bin Haji Wan Derus kepada Pengerusi Jawatankuasa Aftercare, Haji Mustafa bin Haji Masri.
Ekspo anjuran bersama Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, JDBM, Bahagian Reintegrasi Jabatan Penjara dan Jawatankuasa Aftercare dan Bahagian Pembangunan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah serta disokong sepenuhnya oleh Riza Group itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Ekspo itu disertai oleh lapan majlis perundingan kampung di Daerah Brunei dan Muara yang mana ia mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh majlis-majlis perundingan kampung berkenaan di bawah inisiatif 1K1P.
Penyertaan MPK berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk-produk yang dihasilkan oleh MPK berkenaan serta produk-produk yang dihasilkan oleh rakan seliaan dari Jabatan Penjara.
