HANOI, 1 NOV – Vietnam menyaksikan hampir 2.4 juta ketibaan pelancong antarabangsa dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, meningkat hampir 19 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Namun jumlah ketibaan tersebut masih rendah berbanding tempoh pra pandemik pada 2019, menurut Pejabat Statistik Umum negara itu hari ini.
Dari Januari hingga Oktober, pengunjung yang memasuki negara itu melalui udara direkodkan kira-kira 2.1 juta orang, bersamaan dengan 88.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Sepanjang 10 bulan, hampir 1.7 juta orang pengunjung antarabangsa yang memasuki Vietnam adalah dari Asia, meningkat lebih 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah pengunjung dari Eropah, Americas dan Oceania turut menyaksikan masing-masing melonjak kira-kira 27, 60 dan 108 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Vietnam menerima jumlah rekod melebihi 18 juta ketibaan antarabangsa pada 2019, tahun terakhir sebelum pandemik melanda, menurut pejabat tersebut. Pada 2020 dan 2021, jumlah ketibaan antarabangsa ke Vietnam menurun 78.7 peratus dan 95.9 peratus dari tahun ke tahun.
Negara itu menyasarkan ketibaan lebih lima juta orang pelancong luar negara pada 2022, menurut Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan Vietnam. – Xinhua