MANCHESTER, 11 OGOS – Manchester United menamatkan musim lalu dengan kekecewaan di dalam padang dan bantahan di kalangan peminat di luar padang, tetapi perkara tersebut mungkin telah diatasi dengan penandatanganan dua pembelian utama yang membolehkan pasukan Red Devils untuk memulakan kempen baharu dengan penuh keyakinan.
Ketibaan Jadon Sancho di Old Trafford dari Borussia Dortmund menamatkan saga selama dua tahun, tetapi United segera mendapatkan khidmat Raphael Varane dari Real Madrid.
Perbelanjaan lebih 100 juta pound mungkin meredakan sedikit kemarahan peminat terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer dari Amerika Syarikat, yang cuba menyertai Liga Super dan kurang pelaburan untuk kelab sejak mengambil alih pada 2005.
Pertemuan Manchester United menentang Liverpool ditunda pada Mei lalu ketika peminat menyerbu padang sebelum perlawanan bermula meskipun mereka tidak dibenarkan berada di stadium disebabkan oleh sekatan koronavirus.
Dengan sekatan dikurangkan akan menyaksikan perlawanan pada Sabtu menerima kehadiran 76,000 penyokong ke Old Trafford setelah 17 bulan apabila mereka melayan kunjungan Leeds semasa minggu pembukaan musim Liga Perdana Inggeris.

Namun rancangan bantahan terhadap keluarga Glazers kembali senyap dengan tumpuan diberikan kepada kemampuan anak buah Ole Gunnar Solskjaer.
Meskipun tewas di penentuan penalti ketika menentang Villarreal di aksi final Liga Europa pada Mei yang telah melanjutkan rekod kemarau trofi United kepada empat tahun, Solskjaer telah diberikan kontrak lanjutan selama tiga tahun pada bulan lalu.
Solskjaer ditawarkan kontrak baharu hasil perkembangan United dalam tempoh dua tahun setengah dia mengambil alih tugas. – AFP