Ketidakselesaan kanak-kanak Yaman bersekolah

SANAA – Berdepan musim sejuk yang menyedihkan, lebih 400 kanak-kanak duduk di luar dengan berlantaikan tanah yang sejuk untuk menuntut ilmu di sebuah sekolah yang hancur di kawasan Al-Rahabah, pinggir utara bandar Yaman, Sanaa.

“Kami tidak mempunyai baju yang boleh melindungi kami daripada cuaca sejuk, namun kami tetap akan teruskan keinginan kami untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana yang sangat mencabar,” kata salah seorang pelajar Sekolah Yahya Mathkour berumur lapan tahun, Maeen Abdulrab kepada Xinhua.

Abdulrab merupakan pelajar seperti yang lain, berjalan kaki setiap pagi untuk menghadiri sesi pembelajaran. Kebanyakan pelajar ini berjalan kaki ke sekolah tanpa menggunakan selipar atau kasut, kerana mereka tidak mampu untuk membelinya akibat kemiskinan yang melampau.

Sistem pembelajaran Yaman telah musnah akibat perang saudara yang berlaku selama hampir lima tahun, seramai dua juta penuntut terpaksa keluar dari sekolah, manakala 3.7 juta yang lain berhadapan dengan risiko ini akibat guru-guru tidak dibayar gaji mereka, menurut Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF).

Pelajar-pelajar Sekolah Yahya Mathkour telah mengikuti kelas di kawasan runtuh bangunan sekolah semenjak peperangan tercetus pada akhir tahun 2014, apabila pihak bersekutu Iran Houthi telah memberontak dan merampas Sanaa serta memaksa kerajaan Yaman untuk menggulingkan jawatan serta menyingkirkan Presiden Abd-Rabu Mansur Hadi.

Para pelajar Sekolah Yahya Mathkour melakukan perbarisan awal pagi. – Xinhua
Para pelajar Sekolah Yahya Mathkour duduk di lantai bagi mengikuti pembelajaran. – Xinhua
Pelajar sedang menunggu sesi pembelajaran bermula di dalam kelompok yang telah diberikan. – Xinhua

Serangan udara dan darat menyebabkan banyak sekolah musnah akibat letupan.

Beribu-ribu pelajar belajar berhampiran dinding untuk mendapatkan lin-dungan daripada cahaya matahari atau di halaman sekolah yang dipenuhi serpihan akibat serangan yang terjadi sebelumnya.

Salah seorang pelajar, Hassan Mahdi, juga mengadu tentang keadaan sekolah yang rosak serta sejuk yang teruk selama mengikuti kelas di ruang terbuka tersebut.

“Kami menderita sejuk dan kami tidak mempunyai pakaian sejuk,” kata Mahdi.

Mereka juga tidak mempunyai meja dan kerusi untuk guru-guru.

“Kedua-dua para pelajar dan guru-guru menderita semasa menjalankan sesi pembelajaran di kawasan terbuka semasa musim sejuk … ia merupakan waktu yang sangat sukar,” kata seorang guru Taha Hussein.

Satu daripada lima buah sekolah di Yaman sudah tidak dapat digunakan lagi akibat kesan langsung konflik yang berlaku, menurut kenyataan UNICEF September lalu.

“Kanak-kanak yang tidak bersekolah berdepan peningkatan risiko dalam semua bentuk eksploitasi termasuklah dipaksa mengikuti peperangan, buruh kanak-kanak dan berkahwin di usia muda,” menurut kenyataan itu lagi. – Xinhua