Dewasa ini, ramai di antara kita beranggapan bahawa memiliki ijazah adalah satu jaminan untuk masa depan yang cerah, tetapi hakikatnya, realiti ini semakin berubah.
Saya sendiri pernah menjadi mangsa situasi ini, di mana setelah menamatkan pengajian dengan penuh harapan, peluang pekerjaan yang dijanjikan tidak muncul.
Berbulan-bulan saya mengirimkan resume, menghadiri temu duga, namun akhirnya pulang dengan perasaan kecewa.
Keadaan semakin mendesak apabila ekonomi tidak menentu dan persaingan di pasaran kerja menjadi semakin sengit.
Dalam keadaan ini, saya terpaksa mencari jalan lain untuk mencipta karier sendiri. Pada mulanya, rasa takut dan tidak yakin menguasai diri.
Ijazah yang saya miliki seolah-olah menjadi tidak relevan dalam mengejar pekerjaan yang diimpikan.
Namun, semasa meneroka dunia perniagaan dan freelancing, saya mula sedar bahawa ijazah hanyalah salah satu daripada banyak alat yang boleh membantu, tetapi ia bukan penentu mutlak.
Saya mula mencari ruang dalam bidang yang lebih fleksibel dan memanfaatkan kemahiran saya di luar bidang akademik.
Dengan itu, saya mula membina karier sendiri, bebas daripada hanya bergantung terhadap tawaran kerja daripada orang lain.
Kini, saya mengurus perniagaan kecil yang saya bangunkan sendiri dan terlibat dalam kerja-kerja freelance.
Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi keupayaan untuk mencipta peluang sendiri memberikan kepuasan yang luar biasa.
Saya percaya ramai di luar sana turut mengalami dilema yang sama, terperangkap antara ijazah yang dimiliki dan realiti pasaran kerja yang tidak menentu.
Kepada mereka yang sedang melalui cabaran yang sama, saya ingin katakan: Jangan takut untuk melangkah keluar daripada jalan konvensional. Peluang sentiasa ada untuk mereka yang berani mencuba.
Mungkin ijazah yang digenggam tidak lagi menjamin masa depan yang kita impikan, tetapi itu bukan pengakhiran. Jadikan ia sebagai asas untuk mencipta sesuatu yang lebih besar dan bermakna.
Saya juga ingin mendengar pandangan daripada mereka yang pernah melalui situasi yang serupa.
Apakah langkah-langkah yang awda ambil untuk bangkit semula?
Apakah nasihat yang boleh awda kongsikan untuk mereka yang masih mencari jalan keluar?
Terima kasih kerana memberi ruang untuk saya berkongsi pengalaman ini.
Mudah-mudahan ia menjadi inspirasi kepada orang lain yang berada di persimpangan yang sama.
Wardatul
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Wardatul kerana berkongsi pengalaman yang sangat berharga. Dalam menghadapi situasi yang sukar mencari pekerjaan ini, Wardatul telah berani mengambil langkah untuk menjalankan perniagaan sendiri dan juga freelancing. Sememangnya sukar pada awalnya, namun ia suatu usaha yang wajar dipuji.
Dalam dunia moden yang pesat berubah, kemahiran yang relevan adalah kunci, awda boleh pertimbangkan untuk mengambil kursus dalam talian atau menyertai bengkel demi mengasah lagi kemahiran awda. Selain itu, menjalin rangkaian dengan orang-orang dalam industri yang awda minati juga sangat berfaedah. Sertailah kumpulan profesional di media sosial dan hadir di acara berkaitan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat tentang peluang yang ada.
Fokus pada pembinaan jenama peribadi juga penting. Cipta profil dalam talian yang menunjukkan kemahiran dan pengalaman awda, dan gunakan platform media sosial untuk menonjolkan kemahiran dan pencapaian awda.