TEHRAN, 30 April – Ketua akhbar reformis Iran, Shargh kelmarin telah dibebaskan, sehari selepas ditahan mengenai laporan ‘pelacuran’ di bahagian timur laut bandar yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat, menurut media Iran.
Pengarah akhbar itu, Mehdi Rahmanian telah dibebaskan petang kelmarin dengan ikat jamin AS$9,000, menurut laporan agensi berita ILNA.
Pihak mahkamah telah memanggilnya “selepas aduan daripada penduduk di kawasan kejiranan Mashhad, Shahid Rajai,” menurut laporan agensi berita ISNA yang memetik kenyataan timbalan pendakwa, Hassan Heydari.
“Akhbar itu telah menyifatkan sebahagian daripada wanita daerah itu adalah perempuan sundal.”
Akhbar Khorassan di Mashhad berkata Rahmanian telah ditahan selepas gagal untuk membayar ikat jamin.
Pada 8 April lalu, Shargh telah menyiarkan laporan mengenai pembunuhan kanak-kanak perempuan Afghanistan berusia enam tahun di Shahid Rajai, Masshad, bandar kedua terbesar di Iran.
Artikel tersebut telah memetik kenyataan daripada persekutuan untuk kanak-kanak dan orang tidak bernasib baik di mana daerah itu merupakan rumah kepada beberapa sarang pelacuran dan dadah juga dijual di sana.
Khorassan berkata artikel tersebut telah mencetuskan kemarahan daripada penduduk setempat di hadapan masjid tempatan tiga hari kemudian.
Heydari berkata pihak pendakwa telah meminta Rahmanian untuk mengambil tindakan terhadap wartawan yang membuat artikel tersebut dan ‘membaiki’ kerosakan yang telah dilakukan tetapi tindakan tidak diambil.
Seperti akhbar reformis yang lain, Shargh kembali diterbitkan pada akhir 2012 selepas dilarang untuk tempoh beberapa tahun.
Ia merupakan salah satu daripada akhbar reformis dan penyokong utama Presiden Hassan Rouhani, konservatif sederhana yang telah dilantik untuk penggal kedua pada 2017. – AFP