STRASBOURG, 22 OKT – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata beliau bersedia mengambil langkah selanjutnya bagi memastikan keselamatan ekonomi Eropah.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi pleno Parlimen Eropah kepada penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) di bandar Strasbourg, Perancis hari ini, lapor agensi berita Jerman, dpa.
“Krisis dalam bekalan bahan mentah kritikal bukan lagi risiko yang jauh, ia kini di depan mata kita,” katanya.
Menurut von der Leyen, beliau bersedia mencadangkan langkah-langkah tambahan bagi memastikan keselamatan ekonomi Eropah. “Kita juga harus jelas dalam keazaman bahawa tiada negara seharusnya mempunyai keupayaan untuk menjejaskan keselamatan ekonomi kita,” tegasnya.
Walaupun EU sebelum ini telah berusaha mengurangkan kebergantungan, blok itu masih banyak bergantung kepada import bahan mentah kritikal dan teknologi utama.Ini termasuk bahan untuk pembuatan mikrocip, turbin angin dan bateri. EU sangat bergantung kepada beberapa negara bagi bekalan teknologi teras, dengan China menjadi pembekal utama.
“Kita telah pun mengambil langkah-langkah penting, namun kini kita mesti mempercepatkan usaha dengan lebih tegas dan segera. Kita memerlukan bekalan bahan mentah kritikal yang lebih cepat dan boleh dipercayai,” kata von der Leyen. “Eropah mesti mengawal teknologi bersih dan pembuatan yang strategik,” tambahnya. – Bernama


