SAN FRANCISCO, 19 NOV – Ketua kepada syarikat induk Google, Alphabet, memberi amaran bahawa setiap syarikat akan terjejas sekiranya gelembung kecerdasan buatan (AI) meletus, dalam satu temu bual bersama BBC.
Sundar Pichai mengakui terdapat unsur ‘tidak rasional’ di sebalik ledakan pelaburan AI yang telah menggerakkan lonjakan sektor teknologi tahun ini.
Namun kebimbangan gelembung AI mungkin pecah telah mencetuskan penjualan besar-besaran, menyebabkan pasaran saham global jatuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Ketika ditanya sama ada Google turut terjejas jika gelembung AI pecah, Pichai memberitahu BBC, “Saya rasa tiada syarikat yang akan terkecuali, termasuk kami.”
Temu bual yang diterbitkan lewat Isnin itu turut menyentuh kebimbangan lama mengenai AI, termasuk keperluan tenaga, pengurangan sasaran iklim, ketepatan dan impak AI ter-hadap pekerjaan.
Pichai memberi amaran mengenai penggunaan tenaga ‘yang amat besar’ untuk AI, yang menurut Agensi Tenaga Antarabangsa menyumbang 1.5 peratus daripada penggunaan elektrik global tahun lalu.
Jejak pengkomputeran global AI boleh mencecah 200 gigawatt menjelang 2030, bersamaan penggunaan elektrik tahunan Brazil, dengan separuh daripadanya di Amerika Syarikat. – AFP

