Ketua HK: Rang ekstradisi sudah ‘mati’

HONG KONG, 9 JULAI – Pemimpin pro-Beijing di Hong Kong berkata hari ini rang undang-undang ekstradisi China yang mencetuskan pergolakan politik ‘sudah mati’ – namun pembantah mengetepikan komen beliau, mengugut akan mengadakan lebih banyak rapat besar-besaran.

Hab kewangan antarabangsa itu telah dibelenggu krisis paling teruk dalam sejarah terbaharu oleh perarakan sebulan dan konfrontasi ganas sekali-skala di antara polis dan pembantah.

Rapat dicetuskan oleh draf undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke China. Namun mereka telah bertukar kepada gerakan lebih luas meminta pembaharuan demokratik dan mengakhiri sekatan kebebasan di wilayah separa autonomi itu.

Di sebuah bandar yang tidak biasa dengan pergolakan sedemikian, polis telah menembak gas pemedih mata dan peluru getah sementara parlimen telah diserbu oleh pembantah, tatkala pihak berkuasa Beijing menghadapi cabaran paling serius sejak Hong Kong diserah semula kepada China pada 1997.

Hari ini ketua eksekutif bandar Carrie Lam mengaku usaha pentadbirannya untuk memperkenalkan rang tersebut merupakan satu ‘kegagalan’, berkata kerajaannya tidak akan berusaha untuk mengaktifnya semula dalam parlimen.

“Tidak adanya rancangan sedemikian. Rang undang-undang sudah mati,” kata Lam.

Namun beliau enggan tunduk kepada permintaan untuk mengeluarkan sepenuhnya rang daripada agenda badan perundangan, sekali gus mencetuskan bantahan dari pihak antikerajaan. – AFP

Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam bercakap ketika satu sidang akhbar di Hong Kong, kelmarin. – AP