Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua Imigresen Sri Lanka dipenjara dua tahun ingkari perintah mahkamah

    COLOMBO, 23 SEPT – Ketua Imigresen Sri Lanka dijatuhkan hukuman penjara dua tahun hari ini, menjadikannya pegawai kanan terbaharu yang dipenjara di bawah kempen antirasuah kerajaan.
     
    Presiden Anura Kumara Dissanayake telah membuka semula kes-kes rasuah melibatkan pentadbiran terdahulu dua beradik Rajapaksa iaitu Mahinda dan Gotabaya, serta menyingkirkan beberapa pegawai atasan.
     
    Dalam kes terbaharu, Harsha Ilukpitiya mengaku bersalah kerana mengingkari arahan mahkamah untuk menamatkan kontrak bernilai jutaan dolar yang menyerahkan perkhidmatan visa kepada sebuah konsortium asing.
     
    Panel tiga hakim Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Ilukpitiya, yang telah pun menjalani hukuman tahanan selama setahun, atas kesalahan menghina mahkamah.
     
    Kes itu berkisar kepada kontrak pengurusan visa yang diberikan oleh kerajaan terdahulu, yang menggantikan penyedia tempatan yang mengenakan caj AS$1 bagi setiap visa dengan konsortium asing yang turut menaikkan kadar kepada AS$25.
     
    Gambar Bernama
    Konsortium itu  terdiri daripada GBS Technology Services dan IVS Global FZCO dari India, dengan VFS Global sebagai rakan teknologi turut mengenakan caj tersebut kepada warganegara dari negara yang sebenarnya tidak memerlukan visa.
     
    Parti pembangkang dan Menteri Pelancongan ketika itu, Harin Fernando, berhujah bahawa caj tersebut akan menjejaskan ketibaan pelancong.
     
    Pemohon kes mendakwa kontrak itu tidak dianugerahkan secara telus dan menganggarkan konsortium berkenaan boleh meraih sehingga AS$2.75 bilion sepanjang tempoh 16 tahun.
     
    Mahkamah Agung tahun lalu mengarahkan penyedia tempatan dilantik semula buat sementara waktu, namun arahan itu diingkari oleh Ilukpitiya.
     
    Mahkamah masih belum membuat keputusan mengenai kesahan kontrak sumber luar tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda