YANGON, 3 MAC – Ketua junta Myanmar berlepas ke Rusia hari ini untuk berbincang dengan Presiden Vladimir Putin, sekutu utama dan pembekal senjata bagi negara yang terasing itu, yang bergelut untuk mengekang tentangan ganas terhadap pemerintahan tentera.
Min Aung Hlaing, yang merampas kuasa dalam kudeta 2021, meninggalkan ibu negara Naypyidaw bersama delegasi pegawai tinggi, menurut perkhidmatan maklumat junta, dan dijadualkan bertemu Putin pada Selasa.
Penganalisis berkata sokongan Moscow menjadi sangat penting bagi pentadbiran tentera, terutamanya bagi pasukan udaranya, ketika mereka bertempur dengan pelbagai kumpulan bersenjata etnik minoriti dan gerila pro-demokrasi di pelbagai kawasan.
Junta mengalami kehilangan wilayah yang ketara selepas serangan pemberontak pada 2023, tetapi kuasa udara mereka menjadi faktor utama dalam menghalang kemaraan pasukan penentang.
“Rusia sangat berharga dalam membantu mereka mengekalkan armada udara mereka,” kata Morgan Michaels, felo penyelidik di Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) kepada AFP.
“Kedua-dua pihak akan membincangkan prospek pembangunan lebih lanjut dalam kerjasama yang saling menguntungkan antara Rusia dan Myanmar, serta isu antarabangsa semasa,” kata kenyataan Kremlin. – AFP
