Thursday, October 3, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua kampung perlu bertindak sebagai perantara dua hala

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Seorang ketua kampung berperanan serta bertindak sebagai perantara dua hala bukan hanya sebagai mata, telinga dan lidah malah juga sebagai kaki dan tangan kerajaan serta penduduk kampungnya bagi menjaga dan mengawasi kepentingan dan keselamatan kampung di bawah penjagaannya.

    Seorang ketua kampung harus bertanggungjawab mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat serta menggalakkan semangat bermucang-mucang dan bergotong-royong supaya ia tidak luput dimakan zaman.

    “Seorang ketua kampung itu juga berperanan mengadakan perundingan, permuzakarahan dan permuafakatan dengan majlis perundingan kampung (MPK) serta bersama anak buah kampung mengenai apa jua perkara berkebajikan bagi pembangunan, kesentosaan dan kesejahteraan ter-utama sekali yang berkaitan dengan permasalahan anak-anak buah kampung, keselamatan dan keamanan dalam sesebuah kampung dan negara umumnya.”

    Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Calon Ketua Kampung Tanjong Nangka, Mukim Sengkurong yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Nangka, hari ini.

    Pengiran Muhammad Ameer Mubarak berkata lagi, dengan melakukan perkara itu, ketua kampung dapat mendekatkan diri mereka dengan anak-anak buah kampung dan mukim serta seterusnya memperkukuhkan lagi jalinan silaturahim di antara ketua kampung dengan anak buah masing-masing.

    Ia juga akan menyumbang kepada suasana mukim dan kampung yang lebih harmoni dan sejahtera seperti mana yang diharap-harapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pada majlis berkenaan, setelah melalui beberapa proses yang telah ditetapkan, hanya seorang calon sahaja yang dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan calon ketua kampung itu, iaitu Awang Rozan bin Haji Kaderi @ Haji Bujang, berumur 54 tahun dan bermastautin di Kampung Tanjong Nangka sejak 1993.

    Dalam majlis pengundian berkenaan, sebanyak 141 undian telah diterima di mana daripada jumlah berkenaan sebanyak 50 undian bersetuju, 91 undian tidak bersetuju dan tiada undi rosak.

    Pengiran Muhammad Ameer Mubarak hadir semasa majlis pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Tanjong Nangka, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH BRUNEI DAN MUARA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda