PORT-AU-PRINCE, 27 JULAI – Polis Haiti semalam memaklumkan penahanan ketua keselamatan, Jean Laguel Civil bagi membantu siasatan kes pembunuhan Presidennya, Jovenel Moise pada 7 Julai lalu.
Beliau disyaki terbabit dalam plot pembunuhan Moise yang ditemui dibunuh di kediamannya pada tengah malam oleh pasukan komando bersenjata yang berjaya melepasi kawalan pengawal keselamatan tanpa melepaskan sebarang tembakan.
Civil ditahan di penjara di Delmas, berhampiran Port-au-Prince.
“Saya mengesahkan Jean Laguel Civil ditahan semalam oleh polis sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kes pembunuhan Presiden, Jovenel Moise,” kata jurucakap polis, Marie Michelle Verrier kepada AFP.
Suruhanjaya Port-au-Prince, Bed-Ford Claude sudah mengarahkan pihak berkuasa imigresen menyekat empat pegawai polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Moise daripada meninggalkan negara itu.
Semalam, polis turut mengeluarkan waran tangkapan untuk hakim di mahkamah tertinggi di negara itu, Wendelle Coq Thelot, yang telah dipecat oleh Moise.
Perincian mengenai kes pembunuhan itu masih kabur.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Haiti yang baharu, Ariel Henry berjanji akan memastikan pembunuh Moise tidak akan terlepas dan dibawa ke muka pengadilan. – AFP