Wednesday, February 26, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua keselamatan Rusia adakan rundingan di Indonesia

    JAKARTA, 25 FEB – Pegawai keselamatan tertinggi Rusia, Sergei Shoigu, berada di Indonesia untuk rundingan hari ini dengan Presiden Prabowo Subianto dan menteri pertahanannya, ketika Moscow dan Jakarta berusaha untuk meningkatkan hubungan pertahanan.

    Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mengekalkan dasar luar yang neutral, enggan memihak dalam konflik Ukraine atau dalam persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China.

    Bekas menteri pertahanan Rusia, Shoigu, dan kini setiausaha Majlis Keselamatannya, dilihat berpengaruh dalam keputusan menghantar tentera Rusia ke Ukraine pada 2022 dan merupakan sekutu setia Presiden Vladimir Putin.

    Beliau akan bertemu Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, untuk kunjungan hormat di ibu negara Jakarta hari ini, kata Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan.

    Prabowo kemudiannya akan menerima kunjungan Shoigu di istana presiden hari ini, kata jurucakap istana dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Agensi berita Rusia, RIA, berkata kelmarin bahawa Shoigu akan membincangkan hubungan dua hala dengan kepimpinan tertinggi Indonesia, termasuk isu keselamatan dan pertahanan.

    Prabowo yang dilantik baru-baru ini telah berjanji untuk menjadi lebih berani di pentas dunia dan melawat Moscow pada Julai untuk berbincang dengan Putin.

    Pada November, Indonesia dan Rusia mengadakan latihan tentera laut bersama pertama mereka. – AFP

    Sjafrie Sjamsoeddin (kiri), dan Shoigu selepas pertemuan dua hala mereka di Kementerian Pertahanan di Jakarta pada 25 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda