BANGKOK, 30 NOV – Polis Thailand mendakwa lima pemimpin utama gerakan tunjuk perasaan prodemokrasi hari ini kerana memfitnah institusi diraja, undang-undang kontroversi yang pertama kali digunakan sejak dua tahun.
Seksyen 112 Kanun Keseksaan Thailand, juga dikenali sebagai ‘lese majeste’ mengenakan antara hukuman paling berat di dunia bagi kesalahan menghina institusi diraja.
Bagaimanapun, sejak beberapa bulan kebelakangan, pemimpin gerakan prodemokrasi menuntut reformasi monarki, termasuk memansuhkan undang-undang itu, suatu tindakan yang mengejutkan masyarakat Thailand.
Aktivis hak asasi, Anon Numpa, salah seorang daripada wajah yang paling dikenali menuntut reformasi diraja itu dan empat yang lain tiba di balai polis Bangkok untuk disoal siasat hari ini.
“Polis mendakwa kami di bawah Seksyen 112 tetapi kami menafikannya,” kata Anon kepada pemberita selepas meninggalkan balai polis itu.
Mereka didakwa berhubung peranan masing-masing pada perhimpunan September lalu dan jika didapati bersalah, akan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Mereka mengetuai puluhan tunjuk perasaan sejak Julai lalu, dengan yang terbesar menarik puluhan ribu orang yang menyokong tuntutan mereka. – AFP
