Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua Liga Arab tegas tolak penyingkiran penduduk Palestin

    KAHERAH, 14 FEB – Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit kelmarin menegaskan pendirian tegas organisasi itu menolak sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka, sambil menekankan bahawa “Gaza bukan untuk dijual.”

    “Saya menegaskan penolakan mutlak dan tegas Liga Arab, sebagai institusi yang menghimpunkan semua negara Arab, terhadap sebarang usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka dengan apa jua alasan,” katanya semasa sesi Majlis Ekonomi dan Sosial liga itu di Kaherah, yang disiarkan di televisyen negara Mesir, lapor Xinhua.

    Beliau menekankan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada negara Palestin masa depan yang akan ditubuhkan berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan penyelesaian dua negara.

    Aboul-Gheit turut menegaskan bahawa isu Palestin merupakan “perjuangan utama bagi dunia Arab, baik rakyat mahupun kerajaan.”

    Ketua liga itu berkata sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin adalah satu ketidakadilan nyata terhadap hak mereka.

    Beliau turut mengecam peningkatan serangan tentera Israel di Tebing Barat.

    Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini mencadangkan pembangunan semula Gaza dan pemindahan populasinya ke negara jiran termasuk Jordan dan Mesir.

    Cadangan kontroversi itu telah ditolak di peringkat serantau dan antarabangsa. – Bernama

    Rakyat Palestin berjalan di al-Mughraqa di tengah Semenanjung Gaza, pada 13 Februari 2025, ketika penduduk yang berpindah bergerak menuju ke bahagian utara Gaza semasa perjanjian gencatan senjata berlangsung dalam perang antara Israel dan Hamas. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda