Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua Menteri Australia Selatan dedah rancangan larang sumbangan politik

    CANBERRA, 13 JUN – Ketua Menteri Australia Selatan (SA) telah mencadangkan undang-undang baharu untuk melarang sumbangan dan hadiah kepada ahli politik, calon politik dan parti politik, lapor Xinhua.

    Peter Malinauskas pada Rabu malam mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan pembaharuan pilihan raya yang akan melarang sumbangan pilihan raya dalam politik negeri di SA.

    Di bawah undang-undang yang dicadangkan itu, mereka yang melanggar larangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda A$50,000.

    Dalam ucapan di acara University of South Australia (UniSA), Malinauskas mengakui bahawa undang-undang itu boleh dicabar di Mahkamah Tinggi atas alasan perlembagaan tetapi berkata cadangan berkenaan akan menjadikan SA sebagai peneraju dalam memutuskan hubungan antara wang dan kuasa politik.

    “Kami mahu wang dikeluarkan dari politik. Kami tahu ini tidak mudah. Pembaharuan ini mungkin menghadapi cabaran undang-undang.

    Gambar Canva

    “Tetapi kami bertekad untuk melaksanakannya dengan Rang Undang-Undang yang akan diperkenalkan di parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

    Malinauskas berkata pinjaman kepada ahli politik, calon dan parti politik yang berdaftar juga akan dilarang kecuali jika ia datang daripada bank atau institusi kewangan lain.

    Parti dan calon akan menerima pembiayaan negeri untuk pilihan raya, kempen dan mempromosikan idea politik.

    Parti politik dan calon baharu akan dibenarkan menerima sumbangan bernilai sehingga A$2,700 untuk memastikan mereka tidak berasa kekurangan berbanding lawan yang sudah lama bertapak.

    Yuran keahlian parti juga akan dibenarkan tetapi dihadkan kepada maksimum A$100 setahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda