BALIKPAPAN, INDONESIA, 30 SEPT – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini memulakan lawatan kerja selama tiga hari di Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara, Indonesia.
Pesawat khas dinaiki Mohd Shafie dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di Lapangan Terbang Sultan Aji Muhamad Sulaiman jam 9 pagi. Beliau disambut oleh Pelaksana Tugas (Plt) Asisten I Bidang Pemerintahan Kalimantan Timur Jauhar Efendi.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Kalimantan Indonesia selepas menjadi Ketua Menteri Sabah dan turut disertai beberapa menteri Kabinet dan pegawai kerajaan negeri. Mohd Shafie mempunyai jadual padat pada lawatan ini dengan hari pertama bermula di Balikpapan dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Timur Isran Noor. Pertemuan ini bagi perbincangan tentang pembangunan Kalimantan Timur serta pelan pembangunan ibu negara Indonesia di kawasan itu.
Ia disusuli melawat projek Lebuh Raya Balikpapan – Samarinda dan pada program berasingan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yaacob menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Balikpapan serta sesi dialog dan lawatan fakulti. – Bernama