BAITULMAQDIS, 13 JUN – Ketua parti Buruh Israel Avi Gabbay telah mengumumkan beliau akan meletak jawatan selepas memperoleh keputusan mengecewakan dalam pilihan raya pada 9 April dan tidak akan bertanding untuk parlimen dalam pengundian baharu pada September.
Buruh menguasai politik Israel dalam dekad-dekad selepas penubuhan pada 1948, tetapi telah bergelut dalam beberapa tahun ini dan hanya memenangi enam kerusi dalam 120 kerusi parlimen pada April.
Gabbay, 52, ialah bekas ahli perniagaan dan menteri alam sekitar yang menjadi ketua parti pada 2017.
“Saya telah memutuskan tidak akan menjadi sebahagian daripada senarai untuk parlimen Knesset akan datang,” tulis Gabbay di laman Facebook lewat semalam.
Beliau berkata beliau tidak pasti tentang pelan masa depannya, tetapi beliau tetap komited untuk bekerja ‘untuk orang awam.’
Gabbay berusaha beralih daripada parti tradisional kepada neutral, namun menghadapi kritikan disebabkan dasar yang tidak jelas mengenai pelbagai isu.
Beliau juga dikritik apabila terdedah selepas pilihan raya pada April bahawa beliau telah berunding dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menyertai kerajaan gabungan beliau. – AFP