Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua parti pembangkang Kemboja dipenjara dua tahun

    PHNOM PENH, 26 DIS – Mahkamah di Phnom Penh, Kemboja, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Presiden Parti Kuasa Negara, Sun Chanthy, atas tuduhan mencetus gangguan awam, dalam tindakan undang-undang terbaharu terhadap penentang kerajaan.

    Sun Chanthy turut dikenakan denda kira-kira AS$1,000 dan dilucutkan haknya untuk mengundi atau bertanding dalam pilihan raya.

    Tuduhan tersebut berkaitan hantaran di media sosial oleh Sun Chanthy, termasuk sebuah klip video yang mengkritik kerajaan Kemboja semasa pertemuan bersama penyokong di Jepun.

    Peguam pembela, Choung Choungy, menyifatkan keputusan itu sebagai satu ketidakadilan terhadap anak guamnya dan berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan.

    “Hukuman ini sangat berat kerana apa yang dikatakan oleh Sun Chanthy di Jepun bukanlah satu kesalahan, tetapi kritikan membina demi pembangunan negara,” katanya.

    Kumpulan hak asasi manusia telah lama menuduh kerajaan Kemboja, yang kini dipimpin Perdana Menteri Hun Manet, menggunakan sistem perundangan untuk membungkam suara pembangkang dan menekan perbezaan pendapat politik.

    Hun Manet mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2023 selepas bapanya, Hun Sen, berundur setelah hampir empat dekad memerintah.

    Rong Chhun, penasihat Parti Kuasa Negara yang diasaskan tahun lalu, turut berdepan tuduhan hasutan serupa dan berisiko dipenjara sehingga enam tahun jika disabitkan kesalahan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda