Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua PBB beri amaran Israel ancam keamanan global

    NEW YORK, 24 JAN – Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Israel kelmarin bahawa penolakan Perdana Menteri Zionis Israel, Benjamin Netanyahu terhadap penyelesaian dua negara akan memanjangkan konflik yang mengancam keamanan global dan memberanikan pengganas di mana-mana.

    Dalam bahasanya yang paling keras mengenai perang Israel-Hamas, Setiausaha Agung Antonio Guterres memberitahu mesyuarat peringkat menteri Majlis Keselamatan PBB bahawa “hak rakyat Palestin untuk membina negara mereka sendiri yang merdeka sepenuhnya mesti diiktiraf oleh semua, dan penolakan untuk menerima penyelesaian dua negara oleh mana-mana pihak mesti ditolak dengan tegas.”

    Alternatif penyelesaian satu negara “dengan sebilangan besar rakyat Palestin di dalam tanpa rasa kebebasan, hak dan maruah sebenar… tidak dapat dibayangkan,” katanya.

    Guterres juga memberi amaran bahawa risiko peningkatan konflik serantau ‘kini menjadi kenyataan’, menunjuk ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq dan Pakistan. Beliau menggesa semua pihak beundur dari jurang dan mempertimbangkan kos yang mengerikan perang yang lebih luas.

    Penolakan Netanyahu terhadap negara Palestin dalam mana-mana senario selepas perang membuka perpecahan luas dengan sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat (AS), yang mengatakan perang mesti membawa kepada rundingan untuk penyelesaian dua negara di mana Israel dan Palestin boleh hidup bersebelahan dalam kedamaian. Matlamat itu disokong oleh negara-negara di seluruh dunia, seperti yang ditegaskan oleh menteri dan duta, kelmarin.

    Uzra Zeya, setiausaha di bawah Jabatan Negara bagi keselamatan awam, demokrasi dan hak asasi manusia, memberitahu majlis itu, “Satu komponen utama diplomasi AS adalah untuk meneruskan laluan ke negara Palestin dan normalisasi dan integrasi antara Israel dan negara serantau yang lain.”

    “Matlamatnya ialah masa depan di mana Gaza tidak lagi digunakan sebagai platform untuk keganasan, dan masa depan di mana rakyat Palestin mempunyai negara sendiri,” katanya, mengulangi seruan pentadbiran Biden kepada Israel untuk berbuat lebih banyak untuk melindungi orang awam Palestin.

    Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov membantah bahawa diplomasi Amerika “bergerak antara resolusi veto mengenai gencatan senjata dan pada masa yang sama menggesa pengurangan intensiti permusuhan di Gaza.”

    “Tanpa syak lagi ini berfungsi sebagai carte blanche untuk hukuman kolektif berterusan terhadap rakyat Palestin,” kata Lavrov kepada majlis itu.

    Setiausaha Agung Guterres mengulangi seruan lamanya untuk gencatan senjata kemanusiaan – rayuan dengan sokongan global yang menggalakkan. – AP

    Setiausaha Agung PBB, António Guterres ketika bercakap kelmarin, di Ibu Pejabat PBB. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda