WASHINGTON, 22 JUN – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, kelmarin menyuarakan kebimbangan selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, sambil memberi amaran mengenai risiko peningkatan konflik berbahaya di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya amat bimbang terhadap penggunaan kekerasan oleh AS terhadap Iran hari ini. Ini adalah peningkatan konflik yang berbahaya di rantau yang sudah pun berada di ambang krisis – dan satu ancaman langsung kepada keamanan serta keselamatan antarabangsa,” tulis Guterres di X.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa pasukan tentera AS telah melaksanakan serangan udara yang ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap tercetusnya konflik yang lebih meluas di rantau itu.
Guterres menyeru negara anggota supaya meredakan ketegangan dan mematuhi kewajipan mereka di bawah Piagam PBB dan peraturan undang-undang antarabangsa lain.
“Terdapat risiko yang semakin meningkat bahawa konflik ini boleh menjadi tidak terkawal dengan cepat, dengan akibat yang membawa bencana kepada orang awam, rantau ini dan dunia,” kata Guterres.
“Satu-satunya harapan adalah keamanan,” tambahnya sambil menegaskan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan dan satu-satunya jalan ke hadapan ialah melalui diplomasi. – Bernama
