Wednesday, May 7, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua PBB bimbang Israel luaskan penjajahan di Gaza

    HAMILTON, 6 MEI – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin menyuarakan kebimbangan terhadap laporan mengenai rancangan Israel untuk memperluaskan penjajahan di Gaza, sambil memberi amaran ia akan mengakibatkan lebih banyak kematian dan kemusnahan, lapor agensi Anadolu.

    “Saya boleh memberitahu mereka Setiausaha Agung bimbang dengan laporan mengenai rancangan Israel untuk memperluas operasi darat dan melanjutkan kehadiran tenteranya di Gaza,” kata jurucakapnya, Farhan Haq dalam sidang media.

    Menyifatkan rancangan Israel itu akan membawa kepada kematian lebih ramai orang awam dan kemusnahan yang lebih dahsyat di Gaza, beliau berkata, “Apa yang paling penting sekarang adalah menamatkan keganasan, bukan menambah kematian dan kehancuran.

    “Gaza adalah dan mesti kekal sebagai sebahagian daripada negara Palestin masa hadapan,” katanya, sambil mengulangi seruan Guterres untuk gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, serta pembebasan semua tahanan.

    Terdahulu, Kabinet Keselamatan Israel sebulat suara meluluskan rancangan untuk memperluas serangan ketenteraan yang sedang berlangsung di Gaza dan menduduki kawasan-kawasan dalam wilayah itu.

    Sejak serangan bermula pada Oktober 2023, lebih 52,500 penduduk Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan besar-besaran Israel di Gaza. – Bernama

    Gambar menunjukkan tentera Israel ditempatkan di kedudukan berhampiran sempadan Israel dengan Semenanjung Gaza, pada 5 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda