GENEVA/COX’S BAZAR, Bangladesh, 29 Sept – Ketua PBB, Antonio Guterres menggesa pemimpin Myanmar supaya menamatkan ‘mimpi ngeri’ yang dihadapi oleh pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kempen tentera, selepas kira-kira 23 orang mati lemas dengan puluhan lagi dikhuatiri mati apabila sebuah bot yang membawa keluarga Rohingya tenggelam di luar Bangladesh.
Lebih setengah juta penduduk Rohingya Islam telah membanjiri Bangladesh pada bulan lalu, melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar ke atas pemberontak Rohingya yang telah membakar kampung di seluruh utara negeri Rakhine.
Mereka telah menyeberangi sungai Naf yang memisahkan dua negara dalam bot-bot yang penuh sesak.
Salah sebuahnya karam dalam perairan bergolak kelmarin hampir-hampir mendekati ke pesisir, kata para mangsa, ketika kapten bot warga Bangladesh hilang kawalan ke atas kapal itu selepas ia berlayar jauh ke lautan selama dua hari untuk mengelak kapal peronda.
Mayat 23 mangsa telah ditemui setakat ini namun jumlah kematian dijangka meningkat sekitar 60 orang, dengan mangsa korban terdiri daripada kanak-kanak yang lemah untuk berenang meredah ombak besar.

“Seramai 40 dilaporkan hilang atau dianggap mati lemas,” kata jurucakap Organisasi Migrasi Antarabangsa, Joel Millman memberitahu para wartawan di Geneva.
Krisis kemanusiaan itu telah mendorong Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat pertamanya mengenai Myanmar dalam lapan tahun, walaupun negara anggota gagal mencapai penyelesaian.
AS mengecam tentera kerana cuba “menghapus penduduk minoriti etnik di negara itu,” sementara Beijing dan Moscow menawarkan sokongan kepada pihak berkuasa Myanmar yang menyangkal dakwaan mengatakan penghapusan etnik sedang dilancarkan.
Bercakap kepada majlis, Guterres menggesa Myanmar supaya menghentikan operasi tentera dan membuka kemudahan kemanusiaan ke rantau barat yang dibelenggu konflik.
“Situasi telah berkembang kepada kecemasan pelarian yang paling pesat di dunia, mimpi ngeri hak asasi manusia dan kemanusiaan,” kata beliau, sementara menggesa mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik supaya dibenarkan pulang.
Ketua PBB berkata “keganasan sistemik” mungkin mendorong pergolakan merebak dari selatan ke kawasan tengah negeri Rakhine Myanmar, menyebabkan 250,000 penduduk Islam mungkin kehilangan tempat tinggal.
Beberapa kritikan paling pedas datang daripada duta AS Nikki Haley, yang menuduh pihak berkuasa Myanmar melancarkan “kempen kejam untuk menghapus penduduk minoriti etnik di negara.”
“Ia harus memalukan pemimpin tertinggi Burma yang telah berkorban untuk Burma yang terbuka dan demokratik,” tambah beliau, dalam apa yang nampaknya satu teguran kepada pemimpin awam Aung San Suu Kyi, di mana reputasinya sebagai pelopor hak asasi manusia telah terjejas oleh krisis. – AFP