WASHINGTON, 27 MAC – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyambut baik hasil perbincangan baru-baru ini yang dianjurkan oleh Arab Saudi membabitkan Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Ukraine.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata persetujuan yang dicapai mengenai jaminan kebebasan pelayaran di Laut Hitam merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan keselamatan makanan global dan rantaian bekalan, sambil menekankan kepentingan mengekalkan laluan perdagangan dari Ukraine dan Rusia ke pasaran antarabangsa.
Beliau menyatakan bahawa PBB terus terlibat secara aktif dalam perkara berkenaan, terutamanya susulan surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung pada 7 Februari 2024 kepada Presiden Volodymyr Zelenskyy, Vladimir Putin dan Recep Tayyip Erdogan, yang mencadangkan rangka kerja untuk melindungi pelayaran yang selamat dan tanpa halangan di Laut Hitam.
Dujarric juga menegaskan kesinambungan penglibatan PBB dalam pelaksanaan memorandum persefahaman dengan Persekutuan Rusia bagi memudahkan eksport makanan dan baja Rusia ke pasaran global – sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menangani ketakjaminan makanan global.
Diadakan dari 23 hingga 25 Mac, Arab Saudi menjadi tuan rumah perbincangan tiga pihak di Riyadh, yang membawa kepada persetujuan bagi memperkukuh keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau serta antarabangsa. – Bernama
