Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua pemantau nuklear PBB lawat loji Fukushima

    JEPUN, 19 FEB – Ketua pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melawat loji Fukushima Jepun hari ini, sehari selepas Tokyo meluluskan pelan tenaga yang menandakan kembalinya kepada kuasa nuklear.

    Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sedang memantau usaha Jepun untuk menyahaktifkan loji Fukushima Daiichi selepas tsunami berpunca daripada gempa bumi 2011 membunuh 18,000 orang dan mencetuskan bencana nuklear terburuk sejak Chernobyl.

    Ketika Ketua IAEA, Rafael Grossi, tiba di Jepun kelmarin, kabinet menerima pakai rancangan untuk meningkatkan kebergantungan pada kuasa nuklear untuk membantu memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat daripada kilang kecerdasan buatan dan mikrocip.

    “Ketika Jepun mula kembali kepada tenaga nuklear secara beransur-ansur dalam gabungan tenaga nasionalnya, adalah penting bahawa ia juga dilakukan dalam keadaan selamat dan dengan keyakinan masyarakat,” kata Grossi selepas bertemu dengan menteri luar.

    Jepun sebelum ini berjanji untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear sebanyak mungkin.

    Bagaimanapun, janji tersebut telah digugurkan daripada Pelan Tenaga Strategik terkini – yang merangkumi hasrat untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber kuasa utama negara itu menjelang 2040.

    Di bawah rancangan tersebut, kuasa nuklear akan menyumbang kira-kira 20 peratus daripada bekalan tenaga Jepun menjelang 2040, meningkat daripada 5.6 peratus pada 2022.

    Tindakan kembali kepada nuklear berlaku ketika Jepun berusaha untuk mengeluarkan sekitar 880 tan serpihan radioaktif dari reaktor Fukushima Daiichi. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda