DHAKA, 29 Nov – Ketua parti pembangkang Bangladesh yang dipenjarakan, ditegah dari menyertai pemilihan yang diadakan bulan hadapan bagi mencabar musuh ketatnya, Perdana Menteri Sheikh Hasina, menurut peguam negara semalam.
Khaleda Zia sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan rasuah namun penyokongnya, yang telah merayu dakwaan itu, menaruh harapan agar ketua pembangkang berusia 73 tahun itu dibebaskan menjelang pilihan raya pada 30 Disember depan.
Tetapi Mahkamah Tinggi semalam mengesahkan perintah mahkamah rendah bahawa tiada sesiapa pun yang dijatuhi hukuman penjara lebih dua tahun atau sedang menanti rayuan boleh bertanding dalam pilihan raya.
Permintaan rayuan yang dibuat oleh para penyokong Zia itu berdepan jalan buntu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, Selasa lalu itu.
“Berikutan keputusan hakim ini, dia tidak boleh bertanding dalam pilihan raya,” kata Peguam Negara Mahbubey Alam kepada AFP semalam.
Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), parti gerakan pembangkang yang diterajui Zia, telah membantah perintah mahkamah itu sebagai ‘gambaran terhadap permintaan kerajaan.
“Perintah ini tidak dapat kami terima sama sekali. Kami terkilan dan membantah sekeras-kerasnya,” kata Setiausaha Agung BNP Mirza Fakhrul Islam Alamgir.
Zia berharap bersaing untuk bertanding bagi tiga kerusi parlimen meskipun dipenjara di Dhaka atas dakwaan rasuah yang disifatkan oleh BNP dibuat untuk menghalangnya daripada mencabar Hasina.
Bangladesh telah diterajui oleh Zia atau Hasina sejak 1990an dan kedua-dua wanita berpengaruh dari sekutu rapat itu telah bertukar menjadi musuh ketat. – AFP