Ketua pembangkang Kemboja bukan ditahan – Saifuddin

PONTIAN, 10 NOV – Pemimpin parti pembangkang Kemboja Mu Sochua tidak ditahan pihak berkuasa Malaysia sebaliknya cuma melalui proses pemeriksaan biasa di lapangan terbang, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pemeriksaan itu mengikut standard operasi berikutan kerajaan Malaysia telah menerima surat daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang tokoh-tokoh yang namanya tersenarai dalam surat itu.

“Sebenarnya semua pemimpin parti pembangkang Kemboja yang sampai di Malaysia bukan ditahan tetapi mereka melalui pro-ses tertentu yang dipakai oleh pihak berkuasa kita di lapangan terbang, itu adalah SOP (prosedur operasi standard) yang lazim. Kemboja beri senarai nama tokoh-tokoh politik ini, sebab parti mereka telah diharamkan.

Mereka (kerajaan Kemboja) minta kalau tokoh-tokoh ini sampai di negara kita, dihantar balik ke Kemboja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas memberi ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sebuah rumah di Kampung Teluk Kerang, dekat sini malam tadi. – Bernama