Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua pembangkang Korea Selatan dihukum penjara buat kenyataan palsu

    SEOUL, 15 NOV – Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan ke atas ketua pembangkang negara itu kerana melanggar undang-undang pilihan raya, yang mungkin menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang.

    Mahkamah Daerah Seoul mendapati Lee Jae-myung, pemimpin Parti Demokratik, bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara setahun yang ditangguhkan selama dua tahun, beritahu jurucakap mahkamah kepada AFP.

    Kes itu berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Lee semasa kempen pilihan raya, di mana beliau tewas tipis kepada Presiden Yoon Suk Yeol pada tahun 2022.

    Pendakwa menuntut hukuman penjara dua tahun, mendakwa Lee memberikan kenyataan palsu dalam wawancara TV pada Disember 2021 yang mengatakan beliau tidak mengenali Kim Moon-ki, tokoh utama dalam projek pembangunan kontroversi.

    Kim ditemui mati beberapa hari kemudian, tetapi polis tidak menemui bukti perbuatan khianat di sebalik kematiannya.

    Lee Jae-myung (tengah), tiba di Mahkamah Daerah Pusat Seoul di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP

    Lee turut dituduh berbohong semasa sesi pendengaran parlimen pada tahun 2021 berhubung satu lagi projek pembangunan kontroversi di Seongnam, di mana beliau pernah menjadi datuk bandar.

    Mahkamah menyatakan dalam keputusannya bahawa kenyataan palsu yang dibuat Lee di televisyen ‘membesarkan lagi kesannya.’

    Penyokongnya dilaporkan menangis di luar mahkamah selepas keputusan itu diumumkan, sementara Lee segera berikrar untuk membuat rayuan.

    “Keputusan ini sangat sukar untuk diterima,” katanya.

    Jika keputusan itu kekal selepas rayuan, Lee akan kehilangan kerusi parlimennya dan dilarang bertanding untuk jawatan awam selama lima tahun, termasuk pilihan raya presiden 2027. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda