Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua penjenayah Hawaii meninggal dunia akibat dos berlebihan opioid

    HONOLULU, 25 DIS – Seorang ketua penjenayah Hawaii meninggal dunia dalam penjara persekutuan bulan ini akibat pengambilan dos berlebihan opioid, kata pemeriksa perubatan Honolulu, kelmarin.

    Michael Miske, 50, meninggal dunia akibat ‘toksik fentanyl dan para-fluorofentanyl,’ kata pejabat pemeriksa perubatan dalam satu kenyataan. Kematian itu nampaknya tidak disengajakan tetapi kes tersebut masih dalam siasatan, tambahnya, dan laporan bedah siasat mungkin akan mengambil masa kira-kira 30 hari lagi.

    Masih tidak jelas bagaimana Miske mendapat fentanyl atau para-fluorofentanyl semasa berada di Pusat Tahanan Persekutuan Honolulu. Para-fluorofentanyl ialah opioid sintetik yang terdapat dalam ubat terlarang dan lebih kuat daripada fentanyl.

    Agensi bagi Jabatan Undang-undang Amerika Syarikat, Biro Penjara, tidak segera membalas e-mel ketika diminta untuk memberikan komen.

    “Miske ditemui tidak sedar diri di dalam penjara pada 1 Disember lalu. Usaha kakitangan dan petugas perubatan kecemasan gagal menyelamatkannya,” kata agensi itu.

    Dia disabitkan bersalah Julai lalu atas 13 pertuduhan termasuk konspirasi kegiatan haram, pembunuhan dan penculikan yang mengakibatkan kematian. Dia turut dituduh mendalangi jenayah termasuk penculikan seorang akauntan berusia 72 tahun yang berhutang, pembebasan bahan kimia toksik ke tempat pesaing kelab malam dan pembunuhan kawan baik arwah anaknya.

    Sabitan itu memberikan hak kepada kerajaan untuk merampas sehingga AS$28 juta dalam aset Miske, termasuk bot, rumah dan karya seni.

    Dia dijadualkan dijatuhi hukuman pada 30 Januari depan. – AP

    Gambar fail bertarikh 22 Januari 2024 menunjukkan ibu pejabar Mahkamah Persekutuan Putera Jonah Kuhio Kalanianaole, di Honolulu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda