Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua polis New York letak jawatan di tengah siasatan rasuah

    NEW YORK, 13 SEPT – Ketua polis tertinggi New York, yang mengetuai jabatan polis terbesar di Amerika Syarikat (AS), meletak jawatan kelmarin di tengah siasatan rasuah yang melanda kepimpinan bandar itu.

    Jabatan Polis New York (NYPD), pasukan besar yang terdiri daripada 35,000 anggota berseragam dan bajet hampir AS$6 bilion, kini menghadapi krisis kepimpinan.

    Datuk Bandar, Eric Adams mengumumkan peletakan jawatan Edward Caban, Pesuruhjaya Polis New York, dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di televisyen.

    “Baru-baru ini, saya menerima peletakan jawatan tersebut,” katanya, sambil menegaskan bahawa beliau memandang serius siasatan persekutuan yang sedang berjalan ke atas pentadbirannya.

    Adams turut mengumumkan pelantikan pegawai penguatkuasa undang-undang veteran, Tom Donlon, sebagai pesuruhjaya sementara.

    Caban, 57, telah berada di bawah tekanan untuk meletak jawatan selepas ejen persekutuan merampas telefon bimbitnya dan beberapa ahli pentadbiran kanan Adams.

    Tiada tuduhan jenayah yang telah dikenakan, dan pihak berkuasa persekutuan masih belum menjelaskan apa yang sedang disiasat. Menurut ABC News, satu siasatan menyasarkan kontrak bandar dan satu lagi berkaitan penguatkuasaan peraturan terhadap hiburan malam.

    Caban, yang dilantik oleh Adams pada 2023, merupakan Pesuruhjaya NYPD Latino pertama. – AFP

    Caban (tengah) meletak jawatan di tengah siasatan yang melanda kepimpinan tertinggi bandar New York, menurut beberapa laporan media AS pada 12 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda