Ketua pro-IS Filipina dibunuh

MANILA, 5 Jan – Pasukan keselamatan Filipina hari ini membunuh ketua kumpulan militan Islam yang telah melancarkan serangan maut ke atas orang awam untuk meraih sokongan daripada para pejuang Islam IS di Iraq dan Syria, menurut pihak berkuasa.

Mohammad Jaafar Maguid, pengasas dan pemimpin Ansarul Khilafa Philippines dijejaki dan ditembak mati di peranginan pantai di pulau selatan, Mindanao, sejurus selepas tengah malam, manakala tiga ‘sekutunya’ telah diberkas, menurut laporan polis.

Ansarul Khilafa adalah salah sebuah dari beberapa kumpulan militan ganas di Mindanao, yang didiami oleh minoriti besar warga Islam Filipina yang mana di situ telah berlaku pemberontakan pemisah berdekad-dekad lamanya yang telah meragut lebih 120,000 jiwa.

“Dia dikehendaki bagi kejadian-kejadian pengeboman. Mereka menggunakan bahan letupan yang diimprovisasi, dan membunuh orang ramai pada festival bandar,” Ketua Superintenden Cedric Train, ketua polis serantau memberitahu AFP.

“Mereka mengibarkan bendera IS di kem-kem mereka. Mereka mahu diiktiraf oleh ISIS,” Train menambah kata, dengan merujuk kepada kumpulan IS dengan salah satu akronimnya.

Pihak tentera telah membunuh lapan anggota Ansarul Khilafa dalam pertempuran pada November 2015 di Palimbang, bandar kelahiran Maguid, di bandar Mindanao, 1,000 kilometer selatan Manila.

Setiausaha Dalam Negeri Ismael Sueno, memberi amaran tentang akibat yang berpotensi ganas dari kematian Maguid, yang lebih dikenali dengan nama gelarannya, Komander Tokboy.

“Mereka mungkin bertindak balas, justeru itu kita mesti menggandakan persiapan kita,” kata Sueno, dengan merujuk kepada festival keagamaan Katolik di Filipina bulan ini.

Ansarul Khilafa dalang di sebalik serangan yang mengorbankan dua orang awam di Mindanao pada tahun 2008 dan juga siri-siri rompakan dan jenayah lain, menurut Sidney Jones, pengarah Institusi Analisis Dasar Konflik yang beribu pejabat di Indonesia. – AFP