Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua tentera Arab Saudi lawat Iran

    TEHRAN, 10 NOV – Seorang pegawai tentera tertinggi Arab Saudi akan melawat Tehran hari ini untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran, lapor media negara, dalam satu pertemuan peringkat tinggi yang jarang berlaku sejak kedua-dua negara memulihkan hubungan mereka tahun lalu.

    “Fayyad al-Ruwaili, Ketua Staf Tentera Saudi, akan mengunjungi Iran bersama delegasi tentera berperingkat tinggi pada Ahad,” kata agensi berita tempatan, Tasnim.

    Beliau dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatannya di Iran, Mohammad Bagheri, dalam usaha untuk memperkukuhkan ‘hubungan pertahanan’ antara kedua-dua negara, lapor agensi tersebut.

    Bagheri sebelum ini menyatakan kesiapsiagaan Iran untuk meningkatkan hubungan tentera dengan Saudi dalam satu perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Saudi pada November 2023, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.

    Pada Mac 2023, Iran yang didominasi oleh penganut Islam Syiah dan Arab Saudi yang majoritinya Sunni telah memulakan semula hubungan mereka menerusi perjanjian yang dirundingkan oleh China.

    Tehran dan Riyadh telah memutuskan hubungan pada 2016 selepas misi diplomatik Arab Saudi di Iran diserang semasa protes berhubung pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah Nimr al-Nimr oleh Riyadh.

    Kedua-dua negara itu telah lama menyokong pihak yang bertentangan di kawasan konflik di seluruh rantau ini, terutamanya di Syria dan Yemen. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda